Home NegeriPelajar sanggup tempuhi perjalanan jauh ke Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur

Pelajar sanggup tempuhi perjalanan jauh ke Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur

oleh suara timur

KUALA TERENGGANU:  Minat mendalam terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) mendorong pelajar dari pelbagai daerah, termasuk kawasan luar bandar, sanggup menempuh perjalanan jauh untuk menghadiri Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2026 Zon Timur yang berlangsung di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) di sini, hari ini.

Suasana “ledakan sains” mewarnai hari pertama karnival itu apabila pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat membanjiri lokasi penganjuran bagi menerokai pelbagai pameran interaktif, demonstrasi dan inovasi berasaskan STEM.

Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Seri Berang, Hulu Terengganu, Nurina Raudah Jannah Zulkifli berkata jarak bukan penghalang untuk beliau bersama rakan-rakan menghadiri karnival berkenaan kerana peluang seperti itu amat bermakna, khususnya bagi pelajar dari kawasan luar bandar.

Karnival Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur yang  berlangsung selama tiga hari bermula pada 18 Julai 2026 berjaya menarik pelbagai lapisan pengunjung termasuk peringkat usia prasekolah.

“Sememangnya jarak bukan menjadi halangan untuk kami hadir ke karnival sains ini. Ada yang datang bersama guru sekolah, manakala ada juga yang hadir bersama ibu bapa sebelum bertemu di sini.

banner

“Ini merupakan pengalaman yang sangat bermakna kerana kami berpeluang melihat sendiri pelbagai pameran dan aktiviti berkaitan STEM yang sebelum ini hanya dipelajari di dalam kelas,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Sanizaratna Mohd Shafiae, 44, berkata penganjuran karnival yang tidak mengenakan bayaran masuk sepanjang tiga hari memberi peluang kepada lebih ramai keluarga berkunjung tanpa dibebani kos.

MOHD Azrie Mat Amin bersama pasangannya yang baru mendirikan rumah tangga antara pengunjung yang turut hadir ke karnival Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), Kuala Terengganu.

“Bagi keluarga besar seperti kami, faktor kos sentiasa menjadi pertimbangan, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi semasa. Jadi peluang masuk secara percuma ini kami manfaatkan sepenuhnya, sekali gus mengeratkan hubungan kekeluargaan pada hujung minggu.

“Ini kali keempat kami datang ke PSKT dan setiap kali berkunjung pasti ada tarikan baharu. Kali ini kami hadir bersama lebih ramai ahli keluarga dan sanak saudara,” katanya.

‘JOM Lari-Lari’ menawarkan jarak sejauh 4KM menjadi acara pembukaan Karnival Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), Kuala Terengganu.

Bagi pasangan pengantin baharu, Mohd Azrie Mat Amin dan isterinya pula, mereka mengambil peluang mengunjungi karnival itu selepas dimaklumkan mengenainya oleh rakan.

“Biasanya kami meluangkan masa hujung minggu di lokasi pelancongan, tetapi kali ini kami memilih untuk datang ke sini selepas mendapat tahu mengenai penganjuran karnival ini daripada rakan di kampung.

PENGUNJUNG teruja merasai sendiri batu-batuan mineral yang dibawa khas untuk pameran semperna Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), Kuala Terengganu bermula 18 sehingga 20 Julai 2026.

“Pada pandangan saya, karnival sains ini bukan sahaja sesuai untuk pelajar atau golongan muda, malah turut memberi manfaat kepada orang dewasa. Antaranya, pameran berkaitan bahaya radiasi dalam kehidupan seharian yang membuka pengetahuan baharu kepada saya,” katanya yang berasal dari Durian Guling, Marang.

Terdahulu, program “Jom Lari-Lari” membuka tirai hari pertama penganjuran dalam suasana meriah dengan penyertaan pelbagai agensi berkaitan STEM yang memeriahkan edisi keempat karnival itu.

Karnival Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur berlangsung selama tiga hari dan akan melabuhkan tirai pada Isnin ini. – Suara Timur

Tinggalkan komen