Negara

Bertemu jodoh dengan rakan sekolah selepas 40 tahun terpisah

SEREMBAN: Rencana ALLAH tiada siapa yang tahu apabila dua rakan sekolah yang terpisah lebih 40 tahun bertemu jodoh bersama selepas kedua-duanya kematian pasangan dua tahun lalu.

Lebih menarik lagi, Zul A’ini Ariffin, 58 telah dilamar suaminya Alias Yahaya, 58 di tempat pertemuan semula Nabi Adam dan Hawa iaitu di Jabal Rahmah dan kemudian mengikat tali pertunangan di hadapan Kaabah di Makkah.

Mereka kini sah bergelar suami isteri selepas diijabkabulkan pada 11 Oktober lalu di Masjid Dato’ Klana Petra Lela Mohd Yusof di Sikamat di sini.

Menceritakan pertemuan semula dengan suami, Zul A’ini berkata, mereka bertemu semula pada tahun 2019 di Baling, Kedah ketika hadir ke majlis kenduri seorang kawan.

“Saya dan suami sebenarnya pernah sekelas dari Tingkatan Satu hingga Tiga, tapi terputus hubungan selepas suami berpindah ke sekolah Sains.

“Kami kawan-kawan sekolah ini mula berhubung semula selepas menubuhkan kumpulan WhatsApp pada tahun 2016 dan saya terserempak dengan suami tiga tahun kemudian dalam satu majlis kenduri kawan kami di Kedah yang mana ketika itu dia datang bersama isterinya yang berkerusi roda,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Bagaimanapun katanya, pertemuan itu berlalu begitu saja ditambah pula dia yang masih berstatus isteri orang sehinggalah arwah suaminya meninggal dunia, dua tahun lalu akibat kencing manis.

Dia terdetik untuk menghubungi Alias selepas diberitahu seorang rakan yang isteri kepada lelaki terbabit yang menghidap penyakit kencing manis telah pun meninggal dunia.

“Memandangkan kami saling mengenali, saya mesej dia di aplikasi TikTok dan ucapkan takziah serta menasihatkannya supaya tidak berterusan bersedih.

“Lagi pun saya juga baru merasai kehilangan suami dan sejak itu kami berkawan,” katanya.

–  Sinar Harian

Related Posts