BANGKOK – Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra digantung daripada menjalankan tugas oleh Mahkamah Perlembagaan negara itu pada Selasa, selepas badan kehakiman berkenaan membuka siasatan rasmi terhadap tindakannya dalam isu diplomatik dengan Kemboja.
Dalam kenyataan rasmi, mahkamah memutuskan dengan majoriti 7-2 untuk menggantung tugas Paetongtarn bermula 1 Julai sehingga keputusan muktamad diumumkan.
Kes berkenaan dibawa oleh sekumpulan senator konservatif yang mendakwa Paetongtarn melanggar etika menteri ketika mengendalikan pertikaian sempadan dengan Kemboja yang meragut nyawa seorang askar negara jiran itu pada Mei lalu.
Kontroversi tercetus apabila rakaman panggilan telefon yang bocor menunjukkan beliau memanggil negarawan Kemboja, Hun Sen, sebagai”bapa saudara” dan merujuk kepada seorang komander tentera Thailand sebagai”seteru” sekali gus mencetuskan kemarahan dalam kalangan pemimpin konservatif.
Golongan tersebut menuduh Paetongtarn tunduk kepada Kemboja dan melemahkan kewibawaan tentera, serta melanggar peruntukan perlembagaan yang menuntut”integriti jelas” dan”standard etika tinggi” dalam kalangan anggota kabinet. – Sinar Harian