HULU TERENGGANU: Seramai 1,560 pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu didapati mengalami berat badan berlebihan dengan indeks jisim badan (BMI) melebihi 28 yang menjadi syarat kenaikan pangkat.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, jumlah tersebut merangkumi kira-kira 40 peratus daripada 3,900 pegawai dan anggota polis yang bertugas di kontinjen tersebut.
“Kita telah mengambil inisiatif menganjurkan program khas termasuk pelaksanaan aktiviti riadah bagi membantu pegawai dan anggota mempunyai BMI melebihi 28 berkenaan.
“Antara program dilaksanakan ialah kayuhan basikal, mendaki bukit dan jogging,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu di sini, baru-baru ini.
Mohd. Khairi menambah, beliau berharap inisiatif tersebut dapat membantu pegawai dan anggota polis terlibat mencapai berat badan ideal.
Beliau berkata, program menurunkan berat badan itu bukan semata-mata untuk menerima kenaikan pangkat, tetapi demi kesihatan pegawai dan anggota polis terbabit. – Suara Timur