Negara

‘Masih trauma dengar bunyi bas’ – pelajar UPSI

BESUT:  “Sehingga kini saya belum ada kekuatan untuk tengok berita mengenai tragedi yang dipaparkan di media sosial,” kata Nur Ain Najwa Mohd Ilias, 23, pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dengan Pendidikan.

Nur Ain Najwa yang patah bahu kiri antara mangsa terselamat dalam kemalangan membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat di Gerik pada 9 Jun lalu.

Menurutnya, setakat ini dia hanya menggunakan aplikasi WhatsApp untuk berhubung dengan ahli keluarga serta rakan termasuk tenaga pengajar di UPSI.

“Saya masih rasa trauma apabila lihat serta dengar bunyi bas kerana teringat kejadian pada malam itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Kemuntong, di sini, hari ini.

Nur Ain yang juga anak kedua daripada enam beradik berkata, apabila mendengar bunyi bas menyebabkan dia rasa berdebar dan cuba menenangkan diri dengan beristighfar.

“Ketika kejadian saya dalam keadaan separuh sedar kerana tertidur selepas makan ubat demam.

“Saya hanya tersedar apabila bas sudah terbalik, suasana senyap sunyi dan berasa amat sakit pada bahu kiri. Dalam hati saya berkata, Ya Allah jika kau ingin mengambil nyawaku aku reda sebelum kembali tidak sedarkan diri.

“Saya hanya tersedar semula selepas sudah berada di luar bas menunggu bantuan kecemasan sampai,” katanya.

Katanya, dia turut menggunakan sebahagian tudung dipakainya untuk menampung tangan kiri yang sakit sebelum diberikan sehelai kain oleh orang awam.

Sementara itu, ibunya Nani Hamid, 49, berkata anaknya sepatutnya tidak menaiki bas pada malam itu, namun dia membeli tiket milik pelajar lain disebabkan ada kelas pada keesokkannya.

“Kebetulan pelajar itu mahu menjualnya kerana mahu pulang ke kampus lebih lewat disebabkan tiada kelas.

“Nur Ain sepatutnya pulang ke kampus bersama kakaknya tiba-tiba mengubah fikiran pada saat akhir kerana perlu menghadiri kelas,” katanya.

Katanya, jika diikutkan Nur Ain tidak pulang berhari raya di kampung kerana mahu beraya di rumah kakaknya di Cheras, tetapi kemudian dua beradik itu pulang beraya di kampung. – Harian Metro

Related Posts