Negara

Empat suspek kes rogol pelajar sekolah di Melaka dibuang sekolah

PUTRAJAYA: Kesemua keempat-empat suspek lelaki yang disyaki merogol seorang pelajar perempuan secara bergilir-gilir di sebuah sekolah di Melaka minggu lalu, telah dibuang sekolah.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad menerusi sidang akhbar khas di sini hari ini.

Menurut beliau, Lembaga Tatatertib Sekolah yang bersidang pada pagi tadi telah menjatuhkan hukuman buang sekolah terhadap semua suspek yang terlibat.

“Kita inginkan keadilan dapat ditegakkan dan sesiapa saja yang bersalah, Kementerian
Pendidikan (KPM) bertegas mereka perlu dihukum. Pada waktu ini, semua murid yang menjadi suspek kes telah ditahan reman oleh pihak polis.

“Kebenaran untuk suspek menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak sama sekali bermakna mereka akan terlepas daripada hukuman.

“Ia tidak mengganggu proses undang-undang yang sedang berjalan. Hak mereka sebagai murid dan calon SPM tetap kita akan berikan, sementara kes yang melibatkan mereka akan diputuskan oleh pihak yang berkaitan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Azam berkata, suspek yang terlibat juga tidak akan mengambil SPM di sekolah dan akan berada di tempat berasingan yang ditetapkan, sama ada di tempat tahanan atau di lokasi yang berasingan dari pusat di sekolah mereka.

Semalam, media melaporkan empat pelajar yang disyaki terbabit dalam kes rogol seorang pelajar perempuan di sekolah menengah di Alor Gajah dibenarkan menduduki peperiksaan SPM yang dijadual bermula 3 November depan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, keputusan itu dibuat untuk memastikan aspek pendidikan pelajar terbabit tidak terganggu meskipun mungkin terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa, susulan kes berkenaan. – Kosmo

Related Posts