Negara

Suami sebak beritahu jiran anak isteri mati dibunuh

BUKIT MERTAJAM: “Suaminya datang ke rumah bagi salam dua kali dan beritahu isteri dan anaknya kena bunuh, saya tergamam, meremang bulu roma tak tahu nak cakap apa.” Itu reaksi Ida, 51, jiran kepada dua beranak yang ditemukan mati dipercayai dibunuh di rumah sewa mereka di Kampung Sekolah Juru di sini, malam tadi.

Katanya, suami kepada mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan datang dalam keadaan cemas dan bertanya sama ada dia ternampak kereta atau apa-apa kenderaan mencurigakan masuk ke kawasan rumahnya.

“Ketika itu baru azan Maghrib dia yang masih dalam pakaian kerja baru balik dengan menunggang motosikal. Air mukanya nampak sebak sebelum dia bergegas pergi.

“Saya memang tak perasan apa-apa yang pelik atau dengar bunyi bising atau suara orang menjerit jadi tak sangka langsung perkara itu berlaku,” katanya.

Seorang lagi jiran mangsa, Ideris, 61, berkata, mangsa berusia 51 tahun hanya dikenali dengan nama Su dan keluarganya menyewa di rumah itu kira-kira dua tahun lalu dan pernah mengadakan kenduri perkahwinan anak lelaki mereka awal tahun ini.

Katanya, suami isteri itu sekadar bertegur sapa atau berbalas senyum setiap kali terserempak kerana mereka biasanya bekerja pada awal pagi dan waktu pulang bekerja tidak menentu kerana dipercayai mengikut syif.

“Apa yang saya tahu, mangsa kerja sebagai tukang masak kantin, tapi tak tahu kantin apa, dulu dia berniaga nasi lemak. Mereka jenis orang bekerja dan tidak banyak bercakap.

“Suaminya sesekali ada terserempak singgah solat Maghrib berjemaah di masjid selepas balik kerja,” katanya.

Ideris berkata, selama puluhan tahun tinggal di kampung berkenaan, tidak pernah berlaku jenayah sedemikian.

“Pak cik ingat kalau ada pun kes pecah rumah, itu pun dah lama bertahun-tahun dulu jadi tiada ketakutan atau kerisauan apa pun kami tinggal di sini,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati pasukan perubatan termasuk dari Hospital Seberang Jaya dan unit forensik polis dilihat membawa keluar mayat dua beranak berkenaan kira-kira 1.50 pagi.

Terdahulu media melaporkan, mayat wanita berumur 51 bersama anak perempuannya berusia 11 tahun itu ditemukan suaminya, 7.30 malam tadi.

Difahamkan, mayat wanita itu ditemukan di bahagian dapur tingkat bawah rumah berkenaan dalam keadaan menyayat hati dengan kepalanya hampir putus.

Manakala, anaknya dalam keadaan meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah. – Harian Metro

Related Posts