Negara Politik

Manfaatkan Kemenangan BN Di Ayer Kuning Sebagai Batu Loncatan Depani PRU – Dr Azmi

KUALA LUMPUR: UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu menggunakan kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sebagai batu loncatan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan berkata, kehadiran Perikatan Nasional (PN) pada PRK itu adalah dengan hasrat untuk mengurangkan majoriti kemenangan UMNO/BN namun mereka tidak berjaya.

“PN meletakkan calon bukannya untuk menang sangat. Mereka tahu bahawa kawasan itu adalah kubu kuat UMNO sejak sekian lama. Tetapi, mereka berhasrat untuk mengurangkan majoriti. Kalau kurang 2,000 undi maksudnya mereka menang dalam kalah.

AZMI HASSAN

“Malah dalam majoriti 5,000 pun mereka menggunakan statistik-statistik tertentu untuk menunjukkan mereka menang dalam kalah pada PRK ini. Hakikatnya, majoriti itu meningkat lebih daripada sekali ganda.

“Ini mempamerkan bahawa sokongan yang diberikan pengundi-pengundi Pakatan Harapan (PH) itu ada, tetapi tidak seperti yang kita harapkan. Maksudnya, pertambahan undi daripada 9,000 ke 11,000 itu kalau kita kaitkan dengan 58 peratus yang keluar mengundi itu adalah sesuatu yang memberangsangkan.

“Itu dalam hal kerjasama BN-PH. Kita harapkan ramai lagi pengundi PH keluar. Dalam kes ini kemungkinan besar 58 peratus itu disumbangkan oleh banyak ketidakhadiran pengundi PH kerana mereka tahu calon UMNO/BN akan menang di situ,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, PN telah mentafsirkan bahawa kerjasama BN-PH tidak menjadi di Negeri Perak dan peringkat nasional sehingga mereka menimbulkan isu-isu remeh ketika PRK Ayer Kuning baru-baru ini.

“Ini adalah iktibar kepada pemimpin PH terutamanya, kena bekerja keras lagi untuk memujuk pengundi-pengundi mereka keluar mengundi tidak kira calon daripada UMNO ataupun mana-mana parti BN kerana mereka berada dalam satu kerajaan yang sama pada ketika ini.

“Ini kerana saya melihat PN mentafsirkan bahawa kerjasama BN-PH tidak menjadi bukan sahaja di Negeri Perak tetapi di peringkat nasional meskipun peningkatan sekali ganda majoriti telah diperolehi. Peningkatan ini pastinya datang dari pengundi PH. Jadi, ini yang dikatakan isu-isu remeh ditimbulkan seperti ladang babi umpamanya,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa isu ladang babi yang sengaja dipolemikkan oleh PN ternyata ‘memakan diri’ dan membuatkan pengundi bukan Melayu menjauhi mereka.

“Sebenarnya, isu tersebu memakan diri sendiri kerana sokongan pengundi Melayu terhadap PN dikatakan telah tepu, sukar untuk bertambah. Mereka memerlukan pengundi bukan Melayu. Sebenarnya, isu ladang babi ini menjauhkan lagi pengundi bukan Melayu yang mungkin tidak berpuas hati dengan UMNO/BN untuk mengundi PN.

“Hakikatnya, walaupun ini hanyalah PRK yang melibatkan 31,000 pengundi sahaja dan hanya 58 peratus keluar mengundi… tetapi perlu digunakan kemenangan ini sebagai loncatan bermula daripada Pelangai, Mahkota dan Nenggiri, terkini Ayer Kuning.

“Momentum ini perlu dikekalkan. Paling penting adalah untuk mentafsirkan ini adalah kerjasama yang baik di antara BN dan PH,” katanya lagi.

BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning apabila calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir menang dengan majoriti 5,006 undi dalam saingan tiga penjuru.

Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu, yang lebih dikenali sebagai Ustaz Yusri, meraih 11,065 undi untuk menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional yang memperoleh 6,059 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS (1,106 undi). – Umnoonline

Related Posts