Negara

Kapal ‘hantu’ hanyut di perairan Terengganu

KUANTAN:  Sebuah kapal ‘hantu’ dengan kesan terbakar yang hanyut di perairan Terengganu berhampiran Pelantar Minyak Semangkok A sejak 12 Ogos lalu berjaya dikawal dalam operasi bersepadu yang dikoordinasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Pengarah Maritim Malaysia Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, kapal dengan berat 292.9 tan itu dalam proses penundaan menuju ke Kemaman Supply Base (KSB) untuk tujuan penyelamatan.

“Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan menerima laporan daripada MRSC Johor pada pukul 4.45 petang, 12 Ogos, mengenai pengesanan kapal hanyut kira-kira empat batu nautika timur pelantar berkenaan.

“Kapal itu hanyut melepasi kawasan pelantar minyak dan berisiko mengancam keselamatan pelantar lain di sekitarnya,”katanya di sini hari ini.

Menurutnya, operasi itu mendapat bantuan aset udara jenis Dauphin AS 365 N3 yang membawa Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) bersama Jabatan Laut Malaysia (JLM), Malaysia Petroleum Management (MPM), PETRONAS, PETRONAS Carigali Sdn Bhd, Vestigo Petroleum Sdn Bhd, Jadestone Energy (Malaysia) dan Jasa Merin (Malaysia) Sdn Bhd.

Ujarnya, pasukan STAR Team berjaya merapati kapal berkenaan pada pukul 6.58 petang semalam dan memasang tali tunda ke Kapal JM Purnama milik Jasa Merin sebelum memulakan penundaan menuju KSB yang dijangka tiba esok. – Kosmo

Related Posts