Negara

Malaysia gesa Israel bebaskan semua aktivis

PUTRAJAYA:  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rejim Zionis Israel segera membebaskan semua aktivis serta sukarelawan antarabangsa termasuk rakyat Malaysia yang ditahan selepas kapal Global Sumud Flotilla (GSF) dipintas.

Beliau menegaskan, misi tersebut merupakan usaha kemanusiaan yang membawa orang awam tidak bersenjata bersama bantuan penting untuk rakyat Gaza, namun telah dihalang dengan cara yang tidak berperikemanusiaan.

“Saya menerima maklumat daripada pasukan aktivis dan sukarelawan Malaysia selepas rejim Zionis rejim Zionis memintas konvoi Global Sumud Flotilla.

ANWAR IBRAHIM

“Saya menggesa agar semua aktivis serta sukarelawan Malaysia dan antarabangsa dibebaskan dalam kadar segera,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.

Menurutnya, kerajaan akan lakukan yang terbaik untuk membebaskan warga Malaysia dalam tahanan.

“Malaysia akan mengambil segala langkah yang sah dan berasaskan undang-undang bagi menuntut pertanggungjawaban Israel, khususnya apabila warganegara kita terlibat.

“Keselamatan rakyat menjadi keutamaan serta kita tidak akan sama sekali bungkam tatkala hak dan maruah mereka dicabuli,” tegas Anwar.

SEBAHAGIAN daripada aktivis dan sukarelawan antarabangsa termasuk rakyat Malaysia yang ditahan selepas kapal Global Sumud Flotilla (GSF) dipintas rejim Zionis.

Menurut beliau, dengan menyekat misi kemanusiaan ini, Israel bukan sahaja memperlekeh hak asasi rakyat Palestin, malah telah menginjak nurani masyarakat dunia yang kini tidak lagi bersama Israel.

“Selagi hak dan aspirasi rakyat Palestin terus dinafikan, Malaysia kekal berdiri teguh dan tidak akan berundur daripada terus mendesak dan menuntut agar kezaliman dan perampasan yang telah berlarutan sejak sekian lama dihentikan,” ujarya.

Setakat ini, seramai 10 aktivis Malaysia antara ditahan rejim Tel Aviv di perairan antarabangsa dalam perjalanan misi kemanusiaan ke Gaza.

Mereka adalah Iylia Balqis, Musa Nuwayri dan Sul Aidil yang berada di atas Kapal Alma dipintas jam 9.44 malam waktu Gaza.

Sejurus selepas itu, Kapal Sirius yang dinaiki Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin dan Rusydi Ramli dipintas dan ditahan jam 9.47 malam waktu Gaza.

Penyanyi popular, Zizi Kirana yang menaiki Kapal Huga dan sukarelawan Farah Lee dan Danish Nazram di atas Kapal Grande Blue turut menerima nasib sama.

Terbaharu, aktiviti dua beradik, Heliza san Hazwani yang berada di Kapal Hio disahkan ditahan oleh Israel sebentar tadi. – Suara Timur

Related Posts