Negara

Proses nikah tersangat mudah di Kemboja

KUALA LUMPUR: Jika dulu, sempadan Thailand jadi lokasi popular lelaki Malaysia ‘nikah senyap-senyap’, kini arah cinta makin kuat tertumpu ke Kemboja.

Kemboja perlahan-lahan menjadi lokasi baharu pencarian jodoh bagi lelaki Melayu yang mahu mencari pasangan hidup sama ada sebagai isteri pertama atau kedua.

Fenomena ini bukan lagi rahsia. Semakin ramai lelaki Malaysia sanggup merentas sempadan demi meminang gadis Kemboja.

Di perkampungan Islam sekitar Phnom Penh dan Kampot, ada keluarga yang terbuka menerima lelaki Malaysia sebagai menantu selagi mereka ikhlas dan bertanggungjawab.

Wartawan Harian Metro yang menyertai satu misi kemanusiaan baru-baru ini, turut ditawarkan untuk mengahwini gadis tempatan oleh penduduk setempat.

Menurut individu dikenali sebagai Ustaz Muzaffar, yang juga guru agama di Phnom Penh, kahwin campur antara lelaki Malaysia dan wanita Kemboja menjadi kebiasaan.

Katanya, ramai lelaki memilih wanita Kemboja kerana kos hidup lebih rendah dan proses pernikahan mudah.

“Di sini, cukup ada kad pengenalan, wali, dua saksi dan lafaz. Tak sampai separuh pun belanja kahwin di Malaysia,” katanya.

Ustaz Muzaffar berkata, wanita tempatan lebih taat, lembut dan tidak banyak kerenah berbanding wanita moden.

“Ramai datang kononnya atas dasar simpati, tapi akhirnya jatuh cinta betul-betul dan terus bernikah,” katanya.

Namun di sebalik kisah cinta itu, ada realiti mengejutkan apabila ramai gadis dikahwini seawal usia 15 tahun, terutama di perkampungan miskin yang kurang pendidikan.

“Ramai hanya sekolah sampai tahun enam, malah ada yang langsung tak sekolah. Jadi kahwin dianggap jalan keluar dari kemiskinan,” katanya.

Berdasarkan pemerhatian, di setiap kampung yang majoriti penduduk Islam, sekurang-kurangnya lima gadis sudah berkahwin dengan lelaki Malaysia.

Ustaz Muzaffar memberi amaran supaya lelaki Malaysia tidak mempermainkan perasaan wanita Kemboja demi nafsu atau suka-suka. – Harian Metro

Related Posts