SEBERANG PERAI: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung tindakan individu yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik yang berlaku di Kepala Batas di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd. Rahman berkata, laporan itu dibuat oleh seorang pengadu yang terlihat satu hantaran video di laman sosial Facebook kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi.
“Kita masih dalam proses siasatan awal dengan mengambil rakaman percakapan pengadu dan juga suspek. Siasatan lanjut mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” katanya.
Anuar berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang makumat mengenai kes itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Safwan Hashim di talian 04–576 2222 (sambungan 2275) atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 21 saat yang memaparkan kejadian seorang lelaki tempatan bertindak mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik, manakala seorang lagi lelaki yang berada di lokasi kejadian pula merakam insiden berkenaan. – Kosmo