Negara

Bekas tentera, polis jadi warden MRSM bermula Ogos

BUKIT GANTANG – Projek rintis lantikan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas pegawai tentera dan polis di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan dilaksanakan pada Ogos ini.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dua MRSM terlibat dalam fasa awal pelaksanaan projek itu iaitu MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang.

Katanya, proses temuduga dan senarai pendek calon warden itu sudah dijalankan. Kira-kira 10 calon dipilih untuk menggalas tanggungjawab di dua MRSM berkenaan.

“Mereka yang dipilih ini diberikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan bidang tugas dan tanggungjawab serta latihan kerana peranan warden ini penting.

“Kita tidak mahu ada salah faham apabila melantik warden dalam kalangan bekas tentera dan polis seolah-olah pendekatan yang dibawa nanti berbentuk kekerasan dalam mendisiplinkan pelajar,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gantang di Changkat Jering di sini hari ini.

Menurut beliau, peranan warden sepenuh masa ini akan mengurangkan beban tugas guru yang perlu memantau perkembangan sahsiah dan disiplin pelajar di luar waktu persekolahan atau akademik.

“Kita mahu warden bertugas sepenuh masa, tidak seperti sekarang, sedikit sebanyak mengganggu tugas hakiki seorang guru. Sebab itu inisiatif ini dimulakan supaya pelajar di asrama mendapat pengawasan dan pemantauan.

“Kita juga mahu memberikan keyakinan kepada ibu bapa bahawa anak-anak mereka selamat. Tiada kompromi bagi sebarang bentuk buli sama ada secara fizikal mahupun mental,” katanya. – Kosmo






Related Posts