Oleh DATUK YONG SOO HEONG
SELEPAS lima dekad dirunding, petisyen dikemukakan dan dialog dilakukan, Majlis Media Malaysia (MMM) akhirnya ditubuhkan pada tahun ini, satu pencapaian amat dinantikan pengamal media dan pejuang kebebasan akhbar.
Penubuhannya diharap menjadi titik perubahan, peralihan daripada media dikawal kerajaan kepada ekosistem kawal selia kendiri berasaskan kebebasan, profesionalisme dan kepercayaan awam.
Namun, sebuah majlis yang lahir daripada perjuangan panjang ini tidak sepatutnya membisu. Menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertamanya pada 7 November ini, semakin banyak pihak bimbang MMM dilihat belum menemui suara dan arah tuju sebenar.
Walaupun diberi tanggungjawab menggerakkan kempen keahlian sejak pertengahan Julai lalu, MMM hanya berjaya menarik kira-kira 300 wartawan berdaftar setakat ini. Angka ini amat kecil jika dibandingkan dengan anggaran 12,000 tenaga kerja media di seluruh negara, termasuk penyunting, jurugambar, kru kamera dan kakitangan sokongan.
Sebagai perbandingan, 556 wartawan daripada agensi rasmi seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM), 1,797 wartawan media arus perdana, 673 wartawan dalam talian dan 119 wartawan asing diberikan pas media aktif.
Namun, banyak organisasi media arus perdana masih belum menyertainya. Lebih membimbangkan, ramai wartawan dan penyunting tidak jelas bagaimana hendak menyertainya, apa fungsinya dan mengapa ia penting, kerana kehadiran MMM masih belum benar-benar dirasai. Ini bukan kritikan, tetapi seruan untuk bertindak.
Ahli pengasas MMM yang kebanyakannya terdiri daripada portal berita dalam talian, kecuali dua akhbar di Sarawak, satu di Sabah dan satu penyiar komersial, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kewartawanan serta ahli akademik wajar diberikan pujian kerana tampil untuk mengisi kekosongan apabila pihak lain berdiam diri. Komitmen mereka amat penting kepada institusi ini.

Namun kini, MMM perlu bergerak melangkaui asas penubuhannya supaya lebih meluas, berani dan mewakili kepelbagaian media Malaysia. Ketiadaan akhbar utama, penyiar besar dan persatuan kewartawanan kebangsaan mewakili suara media secara menyeluruh bukan sekadar isu persepsi, sebaliknya ia kelemahan struktur.
Tanpa penyertaan media arus perdana, MMM berisiko menjadi institusi kecil bersifat tempelan, bukan majlis nasional. MMM mesti mendekati media tradisional, wartawan bebas, penerbit buku pelajar dan pencipta kandungan digital.
Ia perlu menjelaskan proses keahlian, menyatakan faedah penyertaan dan membina kepercayaan dalam kalangan industri.
Berita baiknya, Pelan Strategi MMM 2026-2027 menawarkan haluan jelas dan menarik tetapi strategi memerlukan pelaksanaan berbekalkan tenaga, perpaduan dan kepimpinan.
5 Tonggak Strategik Majlis Media Malaysia
● Pengukuhan institusi
Tonggak pertama menekankan pelantikan pengerusi berwibawa, penubuhan sekretariat profesional serta pencapaian 80 peratus keahlian daripada pengamal media yang layak. Ini bukan sekadar matlamat pentadbiran, tetapi asas kepada kewibawaan MMM.
Tanpa penyertaan menyeluruh, MMM tidak boleh mendakwa mewakili industri. Tanpa kepemimpinan yang dapat dilihat dan dipercayai, ia tidak mampu menanam keyakinan.
● Pembaharuan undang-undang media
Tonggak ini sama pentingnya. MMM perlu memperjuangkan pemansuhan syarat lesen lapuk, mendesak penggubalan Akta Kebebasan Maklumat serta menyokong pindaan Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan undang-undang fitnah. Ini bukan perubahan kecil, tetapi asas kepada persekitaran media yang bebas dan adil.
● Kelestarian dan inovasi media
MMM mengakui cabaran ekonomi melanda dunia kewartawanan. Kejatuhan hasil iklan, pengaruh kandungan berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan algoritma platform digital menghakis kelangsungan laporan berkualiti. Dalam suasana ini, MMM perlu memperjuangkan dasar penggunaan adil (fair use), menggesa insentif cukai untuk industri media dan menggalakkan pengiklanan kerajaan strategik menghargai integriti editorial, bukan sekadar capaian.
● Literasi media dan latihan kewartawanan
Dua tonggak terakhir ini memberi tumpuan kepada masa depan media iaitu memupuk pemikiran kritikal di sekolah, menyokong inisiatif semak fakta (fact-checking) serta memperkenalkan rangka kerja akreditasi kemahiran kewartawanan bagi membina semula kepercayaan awam dan melahirkan generasi wartawan baharu berdaya saing.
Namun semua ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa momentum sebenar. MMM perlu menjadi lebih daripada sekadar mendaftar keahlian. Ia mesti menjadi titik pertemuan industri, terutama apabila timbul isu berkaitan prestasi dan integriti media.
Contohnya, liputan kontroversi penyiar tempatan ketika Sidang Kemuncak ASEAN 2025 membuktikan MMM perlu mengeluarkan kenyataan tepat pada waktunya, menyelesaikan pertikaian, malah membela wartawan diancam, seperti dalam insiden ‘tiga kesalahan dalam sehari’ membabitkan RTM. MMM patut muncul ketika krisis, bukan hanya gah pada draf dasar penubuhannya.
Maka, ahli pengasas perlu memainkan peranan lebih aktif, bukan sebagai penyunting, tetapi sebagai penghubung. Mereka mesti menerima penyertaan ahli baharu, meraikan kepelbagaian dan berkongsi pentas kepemimpinan. Kekuatan MMM tidak terletak pada strukturnya, tetapi pada semangat solidariti di dalamnya.
MMM kini berada di persimpangan penting. Sempadan antara kewartawanan dan pendapat peribadi semakin kabur. Kos untuk menghasilkan berita sahih semakin meningkat, manakala kepercayaan awam semakin merosot. Dalam iklim ini, MMM bukan satu nama besar, tetapi keperluan mutlak.
AGM akan datang sepatutnya bukan sekadar menjadi majlis mesyuarat rasmi, tetapi detik pembaharuan menandakan permulaan MMM lebih inklusif, telus dan berperanan aktif. Dengan pembekuan keahlian masih berkuat kuasa sehingga AGM berakhir, tiadakah kaedah dapat dilakukan untuk menangguhkan mesyuarat bagi memberi ruang kepada penyertaan lebih meluas, pelbagai dan bertenaga.
MMM lahir daripada perjuangan. Usah lagi membisu. Kini masa untuk bersuara, bertindak dan memimpin. Sekarang adalah waktu untuk bangkit. – Berita Harian
Penulis adalah Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI)