Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu merampas sebanyak 850,000 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam dalam satu serbuan di sebuah premis kediaman di Taman Sepakat Indah, Kuala Rompin, Pahang, bulan lepas.
Pengarah Kastam Negeri Terengganu Hasbollah Din berkata, serbuan itu dijalankan pada 11 Februari kira-kira pukul 8 malam menerusi Operasi PETESAN Siri 1/2026 oleh Pasukan Penguatkuasaan (Marin) Cawangan Penguatkuasaan Kemaman.
“Bertindak atas maklumat, pasukan telah menyerbu sebuah premis kediaman dan hasil pemeriksaan menemukan sejumlah besar rokok putih dan kretek pelbagai jenama yang disyaki merupakan barang larangan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata rokok yang dirampas dianggarkan bernilai RM72,747.60 dengan jumlah duti dan cukai sebanyak RM283,512.04, menjadikan keseluruhan nilai rampasan termasuk duti dan cukai berjumlah RM356,259.64.
Katanya, kesemua barangan berkenaan telah disita untuk siasatan lanjut dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki atau menyimpan barang tidak berkastam atau larangan import.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali amaun duti kastam atau RM100,000, yang mana lebih besar, dan tidak melebihi 20 kali nilai barang atau RM500,000, yang mana lebih besar, atau dipenjarakan antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Menurut beliau, modus operandi sindiket adalah menyimpan rokok tidak berkastam di premis kediaman bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Dalam pada itu, Hasbollah berkata, orang ramai digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan termasuk rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
“Orang awam boleh menghubungi talian bebas tol Kastam di 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya. – Suara Timur
