Home NegeriOperasi CARILAMAT penyelam hilang di perairan Pulau Tenggol ditamatkan

Operasi CARILAMAT penyelam hilang di perairan Pulau Tenggol ditamatkan

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) seorang penyelam yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Tenggol, Dungun sejak 21 Mac lalu telah ditamatkan secara rasmi pada petang semalam selepas tiada sebarang petunjuk baharu ditemui.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, operasi pencarian mangsa, Tam Peng Hoong, 66 tahun, seorang lelaki warga tempatan telah dilaksanakan selama beberapa hari dengan penglibatan pelbagai agensi penyelamat.

Menurut beliau, sepanjang operasi dijalankan, aset laut daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) turut dibantu oleh aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta dua syarikat pengusaha Diving Centre yang menjalankan pencarian di sekitar lokasi kejadian dan kawasan berpotensi berdasarkan pergerakan arus serta keadaan cuaca semasa.

banner

“Walau bagaimanapun, sehingga petang semalam, tiada sebarang petunjuk atau penemuan berkaitan mangsa berjaya dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Halim berkata, keputusan untuk menamatkan operasi dibuat selepas mengambil kira tempoh pencarian yang telah dilaksanakan serta hasil perbincangan bersama agensi yang terlibat dalam operasi CARILAMAT.

Tambahnya, Maritim Malaysia turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi serta pihak yang terlibat, termasuk komuniti setempat, atas kerjasama dan komitmen sepanjang operasi pencarian dijalankan.

Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan sebarang aktiviti di laut, khususnya aktiviti selaman, dengan memastikan peralatan mencukupi serta mematuhi prosedur keselamatan yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Suara Timur

Tinggalkan komen