Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN: Seorang lelaki warga tempatan dikhuatiri hilang ketika melakukan aktiviti selaman di perairan Pulau Tenggol, di sini, petang semalam.
Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan, Pahang menerima aduan awam berhubung kejadian itu sebelum mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada pukul 2.10 petang tadi, iaitu sembilan minit selepas laporan diterima.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, mangsa dikenali sebagai Tam Peng Hoong, 66, dilaporkan melakukan selaman bersama anaknya kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

“Anak mangsa dilaporkan naik ke permukaan selepas kira-kira lima minit menyelam, namun mangsa tidak timbul walaupun selepas sejam berada di dalam air,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurut beliau, Bot Penggalang 16 telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi Carilamat, manakala Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut diwujudkan di Kuala Dungun bagi menyelaras operasi.
“Setakat pukul 7.00 petang tadi, tiada sebarang petunjuk penemuan mangsa dilaporkan,” katanya.
Operasi mencari dan menyelamat akan disambung semula pada pukul 7.00 pagi esok. – Suara Timur
