Home NegeriPenyelam dikhuatiri hilang di perairan Pulau Tenggol belum ditemukan

Penyelam dikhuatiri hilang di perairan Pulau Tenggol belum ditemukan

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) seorang penyelam yang dikhuatiri hilang di perairan Pulau Tenggol, di sini, Jumaat lalu yang memasuki hari kedua masih belum menemukan mangsa setakat petang Ahad

Mangsa, Tam Peng Hoong, 66, dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti selaman dan kali terakhir dilihat memakai pakaian penyelam berwarna gelap.

Operasi CARILAMAT melibatkan pelbagai agensi yang diselaraskan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan penggunaan sebuah bot peronda PERKASA 49 bersama lima kru dan  Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut terlibat menggunakan bot peronda PSC 25 bersama empat kru.

banner

Selain itu, bantuan daripada komuniti penyelam turut diteruskan melibatkan Tenggol Coral Beach Resort (15 penyelam), Tenggol Dive Buddy Dungun (enam penyelam) dan Ocean Dream Dungun (enam penyelam).

“Sehingga kini, tiada sebarang petunjuk baharu atau penemuan mangsa dilaporkan. Operasi pencarian terus dipergiatkan dengan tumpuan di sekitar lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang serta kawasan perairan berhampiran,” menurut kenyataan dikeluarkan  Maritim Malaysia.

Bagaimanapun, operasi ditangguhkan pada petang Ahad dan akan disambung semula pada Isnin.

Maritim Malaysia memohon orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu bagi melancarkan operasi pencarian dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 013-7464357. – Suara Timur

Tinggalkan komen