Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
PAKA: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Padang Gerai di sini terus menunjukkan komitmen tinggi dalam menjaga keselamatan komuniti setempat apabila Skim Rondaan Sukarela (SRS) di bawah kelolaannya aktif menjalankan rondaan malam secara berkala.
Menurut Pengerusi KRT Padang Gerai, Mazedi Mukhtar rondaan tersebut dilaksanakan oleh sukarelawan SRS seramai 20 orang secara bergilir-gilir, melibatkan kawasan Komuniti sekitar Padang Gerai dan Bukit Merah, Paka.
“Tujuan utama rondaan ini adalah untuk mencegah jenayah, serta membina keyakinan dan rasa selamat dalam kalangan penduduk,” katanya ketika ditemui Suara Timur selepas sesi rondaan malam, Ahad lalu.

Tambah beliau, selain rondaan, KRT Padang Gerai turut aktif mengadakan program kemasyarakatan seperti gotong-royong, bantuan kebajikan RT Cares, ziarah rahmah dan aktiviti perpaduan untuk mengukuhkan hubungan antara penduduk.
“Inisiatif ini mendapat sambutan baik daripada masyarakat setempat dan disokong oleh agensi keselamatan serta Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Dungun.
“KRT Padang Gerai turut giat mempromosikan kempen 1 keluarga 1 peronda SRS dlm usaha menggalakkan lebih ramai penduduk untuk terlibat dlm kawasan SRS di sini. Setakat ini, seramai 35 org ahli2 berdaftar,” ujarnya.

Mazedi memberitahu, pada April lalu Program Taklimat Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Penyerahan Kad Ahli telah diadakan di perkarangan rumah pengerusi jirannita KRT Padang Gerai, Bukit Merah.
Jelasnya, program tersebut bertujuan memberi penerangan kepada ahli baharu dan lama mengenai fungsi, peranan serta garis panduan keselamatan dalam rondaan komuniti.
Menurutnya, penyerahan kad tersebut disempunakan oleh Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Daerah Dungun, Asmawati Chik @ Mohammad. – Suara Timur