PETALING JAYA: Istana Negara mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan pelantikan hakim-hakim mahkamah atasan, susulan kritikan kelewatan dalam pelantikan berkaitan yang disifatkan mencetuskan krisis perlembagaan.
Menerusi satu kenyataan, ia berkata pelantikan tersebut adalah urusan kenegaraan yang penting serta perlu ditangani secara cermat dan integriti selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, pelantikan hakim dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Perkara ini secara jelasnya menzahirkan prinsip semak dan imbang dalam sistem kehakiman negara,” katanya.
Menurut Istana Negara, Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695) merupakan undang-undang yang memperuntukkan proses pemilihan calon hakim, namun kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong adalah terletak kepada Perdana Menteri.
“Hal pelantikan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditangani secara sah supaya perjalanan kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak,” katanya.
Kelmarin, Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak gesaan supaya satu suruhanjaya siasatan diraja (RCI) dan jawatankuasa pilihan khas parlimen ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan ketidakteraturan dalam pelantikan kehakiman.
Katanya, proses pelantikan berjalan mengikut Perlembagaan Persekutuan, dan sebarang dakwaan wujudnya krisis adalah tidak berasas.
Ini berikutan tuntutan oleh Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan beberapa Ahli Parlimen PKR lain untuk satu RCI dan pendengaran oleh jawatankuasa pilihan khas Parlimen susulan kelewatan dalam pelantikan jawatan kehakiman tertinggi, termasuk ketua hakim negara.
Dakwaan bahawa berlakunya krisis perlembagaan timbul menjelang persaraan wajib Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, dan Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim, minggu lalu.
Walaupun masih belum jelas siapa yang akan dilantik untuk mengisi dua jawatan tertinggi itu, Hakim Besar Malaya Hasnah Hashim kini menjalankan tugas sebagai pemangku ketua hakim negara manakala Hakim Mahkamah Persekutuan Zabariah Yusof dilantik sebagai pemangku Presiden Mahkamah Rayuan. – FMT