Nasional

Isu TCO: ‘Kita tengoklah apa yang akan berlaku’ – Ahmad Samsuri enggan ulas lanjut

TAPAH: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, enggan mengulas lanjut berhubung isu beliau dilabel dan ditanda sebagai individu bawah status ‘Travel Control Office/Order’ (TCO).

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS sebaliknya menegaskan setakat ini, beliau masih berpegang kepada kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook rasminya, kelmarin, mengenai perkara itu.

“(Saya) beri makluman yang jelas dalam tulisan saya… kita tengoklah apa yang akan berlaku dalam masa beberapa hari ini.

“Boleh rujuk kembali apa yang saya tulis dalam artikel agak panjang itu. Buat masa ini, kita pegang itu dululah,” katanya ketika ditemui pemberita pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Dewan Merdeka, di sini, hari ini.


Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Terengganu, Mohd Nasir Abd Razak, berkata Ahmad Samsuri tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau hantaran permohonan maaf berhubung isu terbabit sebagaimana ditularkan.

“Merujuk kepada hantaran media sosial ini, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau ‘posting’ seperti yang telah disiarkan.

“Kapsyen digunakan laman ini ternyata satu fitnah yang jahat, dan fitnah sebegini boleh menjejaskan imej beliau.

“Sehubungan itu, kami meminta agar siaran berkenaan ditarik balik segera,” katanya dalam satu hantaran melalui Facebook rasmi Ahmad Samsuri, hari ini.

Terdahulu, tular dakwaan dalam laman sosial bahawa Menteri Besar Terengganu itu menarik balik kenyataannya berhubung isu TCO, sekali gus memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Kelmarin, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman, dilaporkan mendakwa beliau dilabel dan ditanda sebagai individu bawah status TCO dalam sistem kawalan sempadan oleh pihak berkuasa sejak pertengahan tahun lalu.

Susulan itu, Anwar dilapor menjelaskan bahawa beliau sendiri dan semua kenamaan juga tertakluk kepada penguatkuasaan dan tindakan TCO dalam sistem kawalan sempadan oleh pihak berkuasa.

Semalam, BH melaporkan Saifuddin Nasution berkata, pihak berkuasa boleh melakukan tindakan memantau pergerakan sesiapa saja yang dikehendaki secara rambang di negara ini, bukan hanya membabitkan ahli politik tetapi juga golongan VIP atau individu biasa.

Saifuddin Nasution dipetik berkata, pengawasan itu dibuat mengikut pertimbangan pihak berkuasa untuk menjalankan penguatkuasaan, dan tindakan berkenaan dibenarkan mengikut undang-undang. – Berita Harian

Related Posts