Negara

Pemuda PH bidas Afnan politikkan pengambilan tanah Kampung Sungai Baru

PETALING JAYA: Pemuda Pakatan Harapan (PH) membidas Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi menafikan fakta apabila cuba mempolitikkan kekecohan di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur dengan mengaitkannya dengan Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

Ketuanya, Woo Kah Leong berkata,  tindakan itu dilakukan bermotifkan politik semata-mata, sedangkan proses pengambilan tanah kampung berkenaan bermula ketika Perikatan Nasional (PN) memerintah.

Katanya, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini pernah menegaskan pihak terlibat dalam pengambilan tanah semasa pentadbiran PN perlu memberikan penjelasan kepada rakyat.

“Pengambilan tanah tersebut telah diwartakan pada 21 Jun 2021 bawah Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960), iaitu ketika PN memegang tampuk kuasa dan juga menjawat portfolio menteri yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Afnan berkata, Kampung Sungai Baru bukan sekadar isu lokal, tetapi gambaran awal nasib seluruh rakyat jika RUU itu diluluskan kelak.

Menurut Afnan, pemaju secara tergesa-gesa menghalau penduduk sedangkan tarikh rayuan mereka hanya dijadualkan pada 3 Oktober ini.

“Inilah realiti yang akan menjadi lebih parah sekiranya RUU PSB diluluskan. Kuasa penuh akan terletak di tangan pemaju, manakala rakyat akan hilang,” katanya.

Dalam pada itu, Woo mendakwa, Afnan tidak menunjukkan simpati terhadap Ketua Polis Dang Wangi Sulizmie Affendy Sulaiman yang cedera dilontar batu ketika mengawal operasi pengosongan bangunan.

“Pemuda Pas diingatkan tidak memutarbelitkan fakta dan mengeruhkan keadaan untuk menutup kegagalan mereka semasa menjadi kerajaan.

“Politik fitnah sebegini hanya akan merosakkan perpaduan masyarakat serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi negara,” katanya. – Suara Timur

Related Posts