KUALA LUMPUR: Jualan ‘biksut ganja’ RM90 sepeket secara dalam talian di Lembah Klang membabitkan lapan individu termasuk dua wanita berjaya dibongkar pihak berkuasa di dua lokasi berasingan di ibu kota, di sini.
Penahanan lapan individu berusia antara 20 hingga 28 tahun pada 16 April hingga 18 April sekali gus menumpaskan sindiket pengedaran ganja yang didalangi suspek.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya menahan lima lelaki dan dua wanita tempatan berusia 20 hingga 31 tahun dalam serbuan pertama di sebuah residensi di Mont Kiara, pada 2.20 pagi, 16 April lalu.
Menurutnya, pihaknya menemui tiga beg berisi ganja dengan anggaran berat 32 kilogram (kg) dan biskut ganja dua kg dalam pemeriksaan di bilik tidur di premis berkenaan.
“Kita juga berjaya menahan seorang lelaki berusia 31 tahun di sebuah residensi di Jalan Duta, di sini, pada 2.10 petang, Khamis lalu.
“Susulan itu, pemeriksaan dalam sebuah kereta milik suspek membawa kepada penemuan sebuah kotak yang berisi biskut ganja dianggarkan seberat tujuh kg,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan dadah dirampas ganja mampat seberat 32 kg dan biskut ganja sembilan kg dianggarkan bernilai RM105,000.
Katanya, pihaknya turut melakukan tindakan pelucutan harta dengan menyita wang tunai RM120, sebuah motosikal dan tiga kenderaan lain.
“Modus operandi sindiket yang aktif sejak setahun lalu adalah mendapatkan bekalan dari Thailand dan mengedarkannya semula kepada pelanggan di sekitar Lembah Klang secara dalam talian dengan menggunakan platform media sosial.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati lima suspek positif dadah jenis ganja dan semakan rekod turut mendapati hanya dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya.
Katanya, lapan suspek berkenaan direman selama tujuh hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Metro