Negara

Prosiding inkues kematian Zara Qairina bermula 3 September selama 19 hari

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini hari ini menetapkan 3 September depan sebagai tarikh bermulanya prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina Mahathir, 13.

Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Hakim Azreena Aziz yang bersidang sebagai koroner menetapkan tarikh terbabit ketika sebutan inkues kes kematian Zara Qairina.

Beliau menetapkan 19 hari tempoh bersidang iaitu masing-masing pada 3 hingga 4, 8 hingga 12, 17 hingga 19, dan 22 hingga 30 September sebagai tarikh prosiding inkues.

Pegawai pengendali inkues berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairus Johari memberitahu setakat ini seramai 195 saksi sudah diambil keterangan namun akan dikurangkan jumlahnya untuk dipanggil pada prosiding inkues terbabit.

Selain Fairus turut terlibat sebagai pegawai pengendali yang juga Timbalan Pendakwa Raya Dana Arabi Wazani, Afiq Agoes dan Dacia Jane Romanus.

Barisan peguam mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, 45, diketuai Hamid Ismail bersama Shahlan Jufri, Rizwandean bin M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.

Peguam, Shahlan mewakili ibu Zara Qairina memaklumkan beliau tidak hadir untuk sebutan inkues hari ini.

Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS), Datuk Mohamed Nazim Maduarin turut menjadi pemerhati pada sebutan inkues berkenaan.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan semalam memaklumkan perkara demikian susulan permohonan dibuat Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta593).

Jabatan itu merujuk kepada kenyataan media AGC bertarikh 13 Ogos mengenai keputusan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian Zara Qairina termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya.

Keputusan itu juga dibuat selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Selasa lalu, selaras dengan peruntukan subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].

Bagaimanapun, pasukan peguam pada Khamis lalu turut mencadangkan supaya inkues dijalankan serentak dengan siasatan yang menjurus kepada unsur buli yang dialami mangsa sebelum kematiannya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar semalam memaklumkan Polis telah merakam keterangan 195 saksi.

Saksi yang diambil keterangan terdiri daripada pelajar, guru, pegawai perubatan, warden, pengawal keselamatan, ibu bapa serta individu lain yang relevan dengan siasatan.

Oleh itu kertas siasatan akan dirujuk semula ke AGC hari ini bagi mendapatkan nasihat serta arahan lanjut.

Polis memberi tumpuan siasatan kepada dua elemen utama iaitu dari aspek inkues serta perlakuan jenayah lain seperti buli dan penularan berita palsu.

Zara Qairina, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolah sekitar jam 4 pagi pada 16 Julai lalu.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1), Kota Kinabalu, namun disahkan meninggal dunia pada keesokannya harinya.

Kematian pelajar tingkatan satu itu mendapat liputan meluas termasuk di media sosial apabila ia dikaitkan dengan dakwaan perbuatan buli di sekolah terbabit. – TV3

Related Posts