Sukan

MFL benarkan 15 import setiap pasukan

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) memperkenalkan sistem terkini pendaftaran pemain apabila membenarkan sejumlah 15 import bakal memperkuat setiap pasukan berdasarkan kemampuan tersendiri.

Pecahan kepada setiap perlawanan, kelab hanya dibenarkan menggunakan sembilan pemain asing bagi satu aksi dengan tujuh di atas padang, manakala dua di bangku simpanan.

Kelab harus mematuhi peraturan dengan komposisi empat import terbuka + satu kuota Asia + dua dari Asia Tenggara (ASEAN) bagi satu masa di atas padang.

Perubahan kuota import ini dibuat bagi memberi kesaksamaan kepada semua kelab serta meningkatkan daya saing Liga Malaysia (Liga-M berikutan jendela perpindahan pemain dalam tempoh sama dengan liga-liga besar luar negara.

Kehadiran pemain import ini akan memberi daya tarikan kepada Liga Malaysia, sekali gus meningkatkan nilai komersial Liga-M dan kelab-kelab yang bertanding.

Selain itu pertambahan kuota pemain import ini dilihat akan dapat membantu kelab yang akan bersaing dalam kejohanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan kejohanan Kelab Asia Tenggara (AFF) memandangkan cabaran semakin hebat diberikan kelab-kelab besar di rantau ini.

Bagaimanapun, setiap kelab tidak diwajibkan untuk memenuhi kuota pemain asing ini, sebaliknya ia bergantung kepada keperluan dan kemampuan kewangan kelab masing-masing. – Astro

Related Posts