OSAKA: Penyerang Crystal Palace, Daichi Kamada, menjaringkan dua gol ketika Jepun menamatkan kempen kelayakan Piala Dunia 2026 dengan bergaya selepas membelasah Indonesia 6-0 di Stadium Panasonic Suita, hari ini.
Kamada, yang menjulang Piala FA bersama Palace musim ini, meledak dua jaringan di babak pertama bagi membantu Jepun menamatkan kempen selaku juara Kumpulan C dengan rekod 30 gol dalam 10 perlawanan.
Turut mencatat nama selaku penjaring ialah Takefusa Kubo, Ryoya Morishita, Shuto Machino dan pemain gantian Mao Hosoya, ketika pasukan kendalian Patrick Kluivert itu bergelut untuk bangkit dan menamatkan saingan di tangga keempat.
Walaupun dibelasah, skuad Garuda tetap mara ke pusingan seterusnya bersama lima lagi pasukan bagi menentukan dua lagi slot automatik ke Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Jepun sebelum ini tewas 0-1 kepada Australia minggu lalu, kekalahan pertama mereka dalam kempen kelayakan, selepas jurulatih Hajime Moriyasu menurunkan barisan eksperimen.
Dua lagi muka baharu diberikan peluang ketika menentang Indonesia apabila pertahanan Junnosuke Suzuki dan pemain sayap Shunsuke Mito diberi penampilan sulung.
Kamada membuka tirai jaringan seawal minit ke-15 hasil hantaran Mito sebelum menjadi arkitek gol kedua apabila melakukan gerakan satu-dua bersama Kubo yang menewaskan Emil Audero.
Indonesia kemudian kehilangan Kevin Diks akibat kecederaan sebelum penggantinya, Yakob Sayuri, turut dikeluarkan selepas hanya 15 minit akibat perlanggaran kepala.
Kamada menambah gol ketiga Jepun menjelang rehat separuh masa dengan aksi solo mengelirukan benteng lawan sebelum melepasi Audero sekali lagi.
Babak kedua menyaksikan Morishita meledak gol sulung antarabangsa pada minit ke-55 diikuti jaringan Machino dan Hosoya untuk memastikan kemenangan bergaya buat Samurai Biru. – Harian Metro