Negeri

1,250 anak pokok nangka madu diagihkan kepada penduduk

PASIR PUTIH: Kerajaan negeri telah mengagihkan 1,250 anak pokok nangka madu peserta Kursus Teknologi Tanaman Nangka yang diadakan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Gaal di sini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Agromakanan dan Komoditi Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, usaha itu bakal memberi manfaat kepada penduduk tempatan.

Kata beliau, agihan itu dibuat selepas seminggu pihaknya mengadakan lawatan sambil belajar ke ladang nangka milik pelakon dan pengarah filem terkenal, Dato’ Rosyam Nor.

“Program ini dianjurkan rentetan daripada lawatan kerja ke ladang nangka Rosyam Nor sebelum ini, sebagai usaha memindahkan teknologi dan kepakaran di Kelantan ini.

“Sebagai sokongan kepada peserta, sebanyak 1,250 anak pokok nangka madu turut diserahkan dimanfaatkan secara praktikal hasil daripada kursus ini,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu beliau merasmikan Kursus Teknologi Tanaman Nangka anjuran PKD Gaal dengan kerjasama Darulnaim Agro Management Industries Sdn Bhd dan Jabatan Pertanian Kelantan.

Turut hadir pada acara yang diadakan di Pusat Khidmat Masyarat Dun Gaal dalam Dewan Sri Gaal itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gaal, Ustaz Mohd Rodzi Jaafar.

Tuan Mohd Saripudin yang juga ADUN Selising turut menaruh harapan besar bagi melihat DUN Gaal bakal menjadi perintis dan peneraju dalam tanaman nangka madu berkualiti di Kelantan. – Harakahdaily

Related Posts