Negeri

Kerja baik pulih runtuhan tebing tidak memerlukan kos tambahan – JKR

KUALA NERUS: Kerajaan negeri tidak perlu mengeluarkan kos tambahan untuk kerja membaik pulih runtuhan tebing di Jalan Mengabang Telipot di Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini, pada Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Ir Dr Hasli Ibrahim berkata, ini kerana projek sepanjang kira-kira 100 meter termasuk binaan penghadang ombak itu masih dalam pembinaan.

Menurutnya, berikutan itu pihak kontraktor yang diberi tanggungjawab akan melakukan kerja membaik pulih tanpa membabitkan peruntukan tambahan.

“Projek pembinaan jalan dan penghadang ombak di laluan sepanjang 280 meter yang runtuh disebabkan fenomena Monsun Timur Laut (MTL) sepatutnya siap pada November ini.

“Sepatutnya laluan itu tidak dibuka kepada orang awam kerana tapak projek masih berstatus kawasan larangan, tetapi kita guna budi bicara atas permintaan penduduk tempatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hasli berkata demikian ketika mengulas peruntukan tambahan untuk kerja membaik pulih Jalan Mengabang Telipot di Kampung Tanjung, Batu Rakit, yang dibadai ombak besar, kira-kira jam 9.30 malam Rabu lalu.

Mengulas lanjut, Hasli berkata, kerja membaik pulih runtuhan tebing dan penghadang ombak masih dalam tanggungjawab kontraktor.

Katanya, projek pembinaan jalan terutama memasang penghadang ombak sudah siap sepenuhnya, tetapi kerja penambakan pantai masih dilaksanakan.

“Penghadang ombak dan jalan itu runtuh dibadai ombak ketika kontraktor masih melakukan kerja penambakan pantai.

“Berdasarkan kontrak, kerja termasuk penambakan pantai bagi mengelak laluan dan penghadang ombak sepatutnya siap sepenuhnya November ini dan bukannya bulan depan seperti didakwa,” katanya.

Katanya, pihak kontraktor sudah memulakan kerja baik pulih mulai semalam dan laluan berkenaan akan ditutup bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Harian Metro

Related Posts