Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN: Seorang anggota bomba maut selepas motosikal yang ditungganginya melanggar seekor kerbau dalam kejadian di Dungun, Terengganu, petang semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa, Pegawai Bomba Kanan 2, Mohamad Kamil Mat Jusoh, 46, maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada badan.
Kejadian berlaku di Kilometer 85, Jalan Jerangau – Jabor berhampiran Ladang Gajah Mati pada pukul 7.40 minit petang.
Mangsa yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Mukhtafi Bilah Shah (AMBS) dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Bandar AMBS selepas selesai menjalani kursus di Kuala Terengganu.
Setiba di lokasi kejadian, motosikal jenis kawasaki yang ditunggang mangsa dikatakan cuba mengelak haiwan tersebut yang sedang melintas jalan, namun terlanggar belakang kerbau tersebut.
Akibat perlanggaran itu, mangsa terjatuh bersama motosikalnya dan terseret sejauh lebih dari 10 meter ke bahu kanan jalan.
Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Angkatan Pertahanan Awam (APM) tidak lama kemudian sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Suara Timur