Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN : Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) membina sebanyak 12 Pusat Hemodialisis Felda (PHF) bagi kemudahan pesakit buah pinggang dalam kalangan warga Felda di seluruh negara.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, daripada jumlah itu, sebanyak lapan buah pusat hemodialisis telah disiapkan dan dijangka dapat beroperasi seawal bulan depan.
Menurutnya, PHF yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka akan dapat memberi manfaat kepada warga Felda dan penduduk sekitar yang mempunyai masalah buah pinggang kronik.
“Pusat hemodialisis ini dibina bagi menampung pesakit buah pinggang yang semakin ramai dan sekurang-kurangnya dapat memberi keselesaan kepada warga Felda yang mempunyai masalah buah pinggang untuk menjalani rawatan,” katanya selepas menyempurnakan majlis Pra-Pelaksanaan Pusat Hemodialisis di Felda Kerteh 5, di sini, hari ini.
Ahmad Shabery berkata, pembinaan PHF juga akan mengurangkan kebergantungan kepada hospital yang sering mengalami kekangan kapasiti selain mengurangkan kos perjalanan pesakit yang tinggal di kawasan Felda.
Menurutnya, setiap PHF akan dilengkapi sekurang-kurangnya enam buah mesin dialisis yang dapat menampung sehingga 36 orang pesakit pada satu-satu masa secara berjadual.
“Untuk di Felda Kerteh 5 ini, saya telah melakukan tinjauan dan dilengkapi dengan enam buah mesin dialisis serta bilik rawatan. Kos pembinaan pusat ini menelan belanja kira-kira RM500,000 yang mana pusat ini dijangka beroperasi bulan depan,” katanya.
Mengenai kos rawatan, Ahmad Shabery berkata, kos rawatan akan dikenakan dengan kos yang minimum dan Yayasan Felda akan berusaha mendapatkan bantuan untuk pembiayaan pesakit.
“Kita tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang (untuk kos rawatan), apa yang penting kita bina dahulu pusatnya untuk kemudahan warga peneroka dan bagi mereka yang tidak berkemampuan, kita akan cuba dapatkan pembiayaan untuk membantu mereka,” katanya. – Suara Timur