KUALA NERUS: Kemunculan pelbagai aneka kuih-muih moden bagi juadah pencuci mulut ketika berbuka puasa menyebabkan kuih tradisional, nekbat yang popular di Pantai Timur semakin dilupakan.
Bagaimanapun, dua beradik, Wan Nur Fitriah Wan Razali, 28, dan adiknya, Wan Nur Aishah, 24, dari Kampung Pak Tuyu di sini
cekal meneruskan legasi perniagaan kuih tradisional itu pada setiap bulan Ramadan.
Menurut Wan Nur Fitriah, dia dan adiknya mahu mempertahankan keunikan nekbat dengan membantu ibu mereka, Mayati Ngah, 56, mengusahakan perniagaan kuih tradisional itu.

Zakiah Ngah menunjukkan nekbat yang dijual di Kampung Pak Tuyu, Kuala Nerus, Terengganu.
Katanya, perniagaan ibunya itu diwarisi daripada neneknya, arwah Sakinah Mohamad yang berniaga nekbat sejak tahun 70-an.
“Saya berhasrat meneruskan perniagaan nekbat demi memastikan perniagaan keluarga saya ini terus kekal walaupun bakal berhadapan dengan pelbagai cabaran selepas ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Pak Tuyu di sini.
Wan Nur Fitriah memberitahu, pada setiap hari, dia membakar 100 biji kuih nekbat yang diadun menggunakan tiga bahan sahaja iaitu telur ayam, tepung gandum dan air.
Katanya, dia masih membakar nekbat dengan cara tradisional iaitu menggunakan acuan tembaga, serta bara dan api daripada sabut kelapa.
“Saya dibantu oleh ibu saudara, Zakiah Ngah, 44, melakukan kerja membakar nekbat dan setiap hari mereka bermula seawal pukul 8.30 pagi hingga 2 petang,” ujarnya.
Tambahnya, dia menjual nekbat dengan harga RM2 bagi 5 biji.
Selain itu, katanya, dia juga menjual akok dan nganang untuk memenuhi permintaan pelanggan pada bulan Ramadan ini. – Suara Timur