Negeri

Duit pencen lesap, pesara rugi lebih RM94,000 akibat penipuan pelaburan


KUALA TERENGGANU: Seorang pesara berputih mata selepas kerugian RM94,463 akibat terpedaya dengan dengan penipuan pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berumur 59 tahun membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu jam 8.17 malam semalam.

Menurutnya, mangsa terpedaya dengan tawaran pelaburan tidak wujud melalui satu aplikasi atas talian pada 14 Ogos lalu, jam 3.10 petang ketika berada di rumah.

Katanya, mangsa kemudian mengikut arahan dan mendaftar di dalam satu laman sesawang sebelum membuat pelaburan pada peringkat awal dengan jumlah RM200.

“Mangsa dapat melihat jumlah wang yang dilaburkan dalam aplikasi berkenaan meningkat dan kononnya dikatakan berjaya mendapatkan keuntungan.

“Mangsa kemudian didorong terus membuat transaksi lain atas alasan bagi urusan untuk memproses bayaran keuntungan yang diperoleh,” katanya.

Menurutnya, bermula 14 hingga 17 Ogos lalu mangsa membuat 12 transaksi ke dalam enam akaun berbeza seperti diarahkan sindiket.

Katanya, merasakan dirinya sudah diperdaya, mangsa membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Berita Harian

Related Posts