Home NegeriArang batu cemar Pantai Teluk Kalong dibersihkan secepat mungkin

Arang batu cemar Pantai Teluk Kalong dibersihkan secepat mungkin

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Kerja-kerja pembersihan tumpahan arang batu di sepanjang Pantai Teluk Kalong, dekat sini, akan dilaksanakan secepat mungkin bermula minggu depan.


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata pihaknya bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah memanggil syarikat perkapalan terlibat bagi membincangkan langkah susulan kejadian berkenaan.


“Hasil perbincangan tersebut, syarikat perkapalan bersetuju untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan di sepanjang pantai serta kawasan laut yang terjejas bermula minggu depan,” katanya ketika ditemui  hari ini.

banner


Razali berkata syarikat berkenaan turut memberi jaminan kerja pembersihan itu akan diselesaikan dalam tempoh sebulan, manakala usaha mengalih tongkang yang tersadai dijangka mengambil masa lebih panjang.

SEBAHAGIAN arang batu yang mencemari Pantai Teluk Kalong, Kemaman.  – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN


“Kita berharap Pantai Teluk Kalong dapat kembali bersih memandangkan kawasan ini merupakan antara tumpuan pelancong dari dalam dan luar negeri,” katanya.


Sementara itu, Pengarah JAS Terengganu, Hamzah Mohamad berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tumpahan arang batu tersebut pada 11 Januari lepas.


Beliau berkata JAS akan memantau secara berterusan kerja-kerja pembersihan sehingga kawasan pantai berkenaan kembali pulih sepenuhnya.


“Orang ramai dan pengunjung diminta tidak bimbang kerana arang batu berkenaan bukan bahan buangan berjadual serta tidak memberi kesan buruk terhadap alam sekitar,” katanya.


Dalam kejadian minggu lalu, sebuah tongkang yang membawa muatan kira-kira 7,000 tan arang batu dalam perjalanan dari Indonesia ke Vietnam hanyut akibat dipukul ombak sebelum terlanggar batu, menyebabkan muatannya tertumpah dan mencemari sepanjang Pantai Teluk Kalong. – Suara Timur

Tinggalkan komen