Negeri

Terima peruntukan RM6.6 juta, Kelantan ucap terima kasih pada Anwar

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan merakam ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyalurkan peruntukan lebih RM6.6 juta bagi melaksanakan kerja-kerja membaik pulih cerun runtuh di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah, Tanah Merah dekat sini pada 26 November tahun lalu.

Menteri Besar Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, perkara itu melambangkan semangat budaya politik matang federalisme yang tinggi antara kerajaan negeri dan persekutuan demi kebaikan rakyat di negeri ini.

“Kelulusan itu amat bermakna buat rakyat negeri ini bagi memastikan masalah tersebut dapat diatasi dengan segera. Insiden pada 26 November lalu itu akibat hujan lebat menyebabkan pergerakan tanah sepanjang 130 meter.

“Ia turut mengakibatkan kerosakan struktur pada ceruk (sheetpile) di LRA tersebut. Antara kerosakan lain yang terjejas adalah paip air mentah dan terawat pecah serta mengancam bangunan penting seperti bilik klorin, tangki bahan kimia dan sub-stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya menerusi satu hantaran dilaman sosial facebook rasminya miliknya malam tadi.

Mohd. Nassuruddin memberitahu, susulan kejadian itu pihaknya terus mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan bagi menangani insiden cerun runtuh tersebut.

Katanya, Kerajaan Kelantan juga telah meluluskan peruntukan keseluruhan berjumlah RM235,000 bagi pelaksanaan dua kajian oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Ia melibatkan Kajian Siasatan Tanah (Sl) dan Kajian Ukur Terperinci (Detailed Survey) di tapak LRA berkenaan,” ujarnya.

Utusan Malaysia 28 November lalu melaporkan, kira-kira 13,766 pengguna Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) terjejas selepas paip air mentah bersaiz 700 milimeter pecah sekali gus menyaksikan operasi di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah, di sini terpaksa dihentikan.

Jurucakap AKSB dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan, kejadian itu berlaku susulan mendapan dan pergerakan di kawasan loji tersebut ekoran hujan lebat berterusan. – Utusan

Related Posts