NILAI: Polis membongkar taktik lima individu mencuri penapis air berjenama di masjid sebelum menjualnya melalui media sosial.
Taktik itu dikesan susulan penahanan lima suspek berusia lingkungan 20-an hingga 40-an termasuk empat yang mempunyai disahkan positif dadah dan mempunyai rekod lampau, dalam dua serbuan masing-masing di Pangsapuri Bandar Tasik Kesuma dan Beranang di Selangor.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim mengesahkan penahanan itu dengan tiga laporan polis bersabit kes kecurian mesin penapis air berjenama di tiga masjid sekitar Nilai diterima pada 30 Jun lalu.
Mengulas penahanan itu, beliau berkata tangkapan pertama dilakukan kira-kira jam 12 tengah hari semalam Julai membabitkan dua suspek utama, sebelum tiga lagi suspek ditahan kira-kira jam 12.15 tengah hari.
Hasil tangkapan, katanya membawa penemuan dan rampasan barang kes utama iaitu satu mesin penapis air yang dicuri pada 30 Jun lalu.
“Turut dirampas sebuah kenderaan Proton Gen-2, telefon bimbit, pakaian ketika kejadian dan peralatan digunakan untuk mencabut mesin.
“Siasatan awal mendapati semua suspek menggunakan media sosial untuk mencari pembeli barang curi dan menyasarkan masjid yang kurang pengunjung dan mencuri penapis air yang diletakkan di luar ruang solat,” katanya.
Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat pagi ini untuk siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – Berita Harian