Negeri

Stesen bas sementara Jertih jauh, sunyi

BESUT: Lokasinya yang jauh dari pusat bandar, selain tahap keselamatan yang kurang memuaskan.

Itu rungutan daripada pengguna terutama penumpang bas ekspres susulan pemindahan hentian bas sementara di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Jabi di Kampung Anak Ikan, di sini, sejak bulan lalu.

Pemindahan itu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf Kompleks Stesen Bas dan Kereta Sewa di Bandar Jertih.

Kebanyakan pengguna bas tidak berpuasa hati kerana jarak Stesen Bas Jertih dengan hentian bas sementara itu agak jauh kira-kira 21 kilometer, sekali gus menyukarkan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman seperti Hulu Besut untuk menaiki bas.

Tinjauan Harian Metro di lokasi berkenaan mendapati hanya dua kaunter bas sahaja dibuka walaupun terdapat empat kaunter disediakan di kawasan itu.

Seorang penjaga kaunter tiket bas, Anaqi Insyirah Abdullah, 26, berkata, kaunter berkenaan dibuka pada 14 April lalu kerana semua bas masih boleh beroperasi di tapak stesen bas lama ketika musim perayaan.

“Sejak berpindah ke sini, saya agak risau dengan tahap keselamatan di sini, ketika waktu malam lebih sunyi kerana tidak ramai penumpang menaiki bas di sini berbanding di kawasan bandar Jertih.

“Kaunter saya tutup jam 9 malam biasanya waktu malam memang saya tidak berani untuk ke tandas yang terletak jauh lebih 200 meter seorang diri kerana risau keselamatan diri,” katanya.

Seorang lagi penjaga kaunter tiket bas dikenali sebagai Nira berkata, faktor keselamatan paling menjadi kerisauannya sejak hari pertama bertugas di situ.

“Saya bertugas sehingga jam 10 malam setiap hari dengan kawasan gelap sunyi dan surau juga jauh.

“Setiap kali keluar perlu tutup kaunter sepenuhnya kerana belum dipasang jeriji besi,” katanya.

Katanya, dia berpengalaman menjaga kaunter tiket bas hampir 20 tahun namun sebelum ini hanya berpindah-randah dalam kawasan bandar Jertih.

“Namun kali ini jaraknya sangat jauh dan saya berdepan kesukaran untuk melakukan urusan jual beli tiket bas secara tunai kerana hentian bas sementara ini jauh dari bandar serta tiada kemudahan bank,” katanya. – Harian Metro

Related Posts