Home NegeriPusat Konservasi Tuntung Sungai di Kampung Pasir Gajah jadi mercu tanda pelancongan baharu wilayah KETENGAH

Pusat Konservasi Tuntung Sungai di Kampung Pasir Gajah jadi mercu tanda pelancongan baharu wilayah KETENGAH

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Pusat Konservasi Tuntung Sungai yang bakal dibina di Kampung Pasir Gajah dekat sini dijangka menjadi mercu tanda pelancongan baharu di wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).

Projek bernilai RM300,000 itu dilaksanakan oleh KETENGAH bagi menggantikan pusat konservasi sementara yang beroperasi di ruang stor Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Gajah milik agensi berkenaan sejak 2011.

Pengerusi KETENGAH, Rozi Mamat berkata, pembinaan pusat tersebut merupakan antara inisiatif pihaknya dalam memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti, memperkasa pendidikan alam sekitar serta merancakkan pembangunan eko-pelancongan di wilayah berkenaan.

banner
ROZI Mamat melakukan gimik majlis pecah tanah pembinaan Pusat Konservasi Tuntung Sungai di Kampung Pasir Gajah, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurut beliau, pusat konservasi itu juga merupakan salah satu daripada 59 produk eko-pelancongan yang terdapat di wilayah KETENGAH.

“Dalam tempoh dua tahun ini, pusat konservasi tersebut telah merekodkan kehadiran seramai 2,257 pengunjung dan majoritinya terdiri daripada pelancong luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pusat Konservasi Tuntung Sungai Kampung Pasir Gajah, di sini, hari ini.

ROZI Mamat diberi penerangan mengenai pembinaan Pusat Konservasi Tuntung Sungai yang dibina di Kampung Pasir Gajah, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Turut hadir Pengurus Besar KETENGAH, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.

Rozi berkata, pusat konservasi sementara itu kini diuruskan oleh Turtle Conservation Society of Malaysia (TCS Malaysia) dan merupakan satu-satunya pusat konservasi tuntung sungai yang masih beroperasi di Semenanjung Malaysia.

ROZI Mamat diberi penerangan oleh Pengasas Bersama merangkap Pengarah Eksekutif TCS, Dr Chen Pelf Nyok mengenai tuntung yang merupakan haiwan eksotik dilindungi pada majlis pecah tanah pembinaan Pusat Konservasi Tuntung Sungai di Kampung Pasir Gajah, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Tambah beliau, pusat konservasi baharu itu kelak akan berfungsi sebagai stesen penyelidikan hidupan liar, khususnya bagi spesies eksotik seperti tuntung sungai, labi-labi, kura-kura dan penyu.

“Malah, pusat ini turut menjadi rujukan dan lokasi penyelidikan oleh institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN),” katanya. – Suara Timur

Tinggalkan komen