Home NasionalBatu Penyu di Rantau Abang terbiar ‘menangis’

Batu Penyu di Rantau Abang terbiar ‘menangis’

oleh suara timur

DUNGUN: Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) Kawasan Dungun kecewa dengan keadaan struktur batu menyerupai penyu di Bukit Che Hawa, Rantau Abang, dekat sini yang pernah menjadi tumpuan pelancong suatu ketika dahulu kini terbiar tanpa diselenggara pihak berkuasa.

Timbalan Pengerusi PSM Kawasan Dungun, Che Mat Nor Abd Llah berkata, struktur itu yang dikenali sebagai Batu Penyu oleh penduduk tempatan mempunyai kisah legenda yang dikaitkan dengan pendaratan penyu di pantai Rantau Abang.

Beliau berkata, jika tiada tindakan segera dilakukan, dikhuatiri batu berkenaan akan diancam hakisan sekiranya terus terdedah kepada faktor semula jadi seperti cuaca apabila bumbung yang dibina bagi melindunginya telah rosak.

“Kalau terus dibiarkan, Batu Penyu yang bersejarah itu mungkin tidak dapat menjadi tatapan generasi akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

banner
KEADAAN Batu Penyu yang pernah menjadi tumpuan pelancong suatu ketika dahulu kini berada dalam keadaan terbiar nyu di Bukit Che Hawa, Rantau Abang, Dungun.

Che Mat Nor berkata, kawasan sekitar juga tidak diselenggara apabila dipenuhi semak samun selain jalan menuju ke batu itu juga rosak sehingga menyukarkan pelancong untuk berkunjung dan bergambar.

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini pernah menyalurkan peruntukan yang besar untuk mengindahkan kawasan berkenaan, namun tiada penyelenggaraan dilakukan pihak terlibat selepas itu sedangkan ia antara tarikan pelancongan di Dungun dan negeri ini.

“Saya percaya Batu Penyu itu akan kembali menarik pelancong ke Rantau Abang sekiranya kerajaan memberi tumpuan membangunkan semula kawasan itu sempena Tahun Melawat Terengganu 2027,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat PSM Kawasan Dungun, Wan Mohd Rosli Wan Ngah berkata, pihaknya akan berusaha mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan Batu Penyu dan persekitarannya kembali terurus.

“Kami akan berbincang dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk mencari kaedah bagi membaiki dan memajukan persekitaran kawasan terbabit,” katanya. – Sinar Harian

Tinggalkan komen