KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meninggal dunia di sebuah hospital swasta, di sini, sebentar tadi.
Bung Moktar, 66, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1.46 pagi tadi ketika sedang menerima rawatan di Hospital Gleneagles.
Perkembangan itu diumumkan oleh anak lelaki Ketua UMNO Sabah berkenaan, Naim Kurniawan Moktar menerusi hantaran di laman media sosial Facebook rasminya, sebentar tadi.

“Assalamualaikum. Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kami, Moktar bin Radin, telah menghembuskan nafas terakhir pada 05 Disember 2026, jam 1.46 pagi (14 Jamadilakhir 1447H).
“Mohon semua mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al-Fatihah,” katanya dalam hantaran terbabit.
Terdahulu awal malam tadi, BH melaporkan Bung Moktar dimasukkan ke sebuah hospital swasta di sini, pada tengah hari. Perkara itu disahkan Naim Kurniawan.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut punca bapanya dimasukkan ke hospital. Beliau memohon semua pihak mendoakan kesihatan bapanya itu.
Setakat ini tiada kenyataan rasmi mengenai masalah kesihatan yang dihadapi oleh Bung Moktar. Namun satu laporan media yang memetik kenyataan Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin memaklumkan Allahyarham mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan paru-paru. – Berita Harian
