Home NasionalFMS 2026: UC TATI bersedia cipta kejayaan dalam kejuruteraan automotif

FMS 2026: UC TATI bersedia cipta kejayaan dalam kejuruteraan automotif

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN : Universiti Kolej TATI (UC TATI) k bersedia mencipta kejayaan dalam dunia kejuruteraan automotif menerusi pertandingan Formula Student Malaysia (FMS) 2026 yang akan berlangsung  di Litar Dato Sagor, Perak pada 22 hingga 23 April ini.

FMS 2026 ini merupakan kesinambungan Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) yang diberhentikan sejak 10 tahun lalu.

Rektor UC TATI Profesor Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid berkata, UCTATI Racing Team (UTRT) tampil dengan dua jentera utama iaitu Red Shark dan Blue Shark yang dibangunkan sepenuhnya oleh pelajar pelbagai disiplin.

banner
Rektor UC TATI, Profesor Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid yang mencuba jentera  dibangunkan pelajar bergambar bersama UC TATI Racing Team di UC TATI, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Kedua-dua jentera itu menjadi simbol keupayaan teknikal pelajar institusi berkenaan yang menggabungkan elemen reka bentuk, analisis aerodinamik (CFD), fabrikasi, pemasangan serta ujian prestasi dalam satu ekosistem pembangunan sebenar.

“Pendekatan “hands-on engineering” yang diterapkan dilihat selari dengan kehendak industri semasa yang menuntut integrasi antara kejuruteraan, inovasi dan keusahawanan, sekali gus memperkukuh kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran UC TATI Racing Team di UC TATI di sini hari ini.

DUA jentera yang dibangunkan pelajar UC TATI   untuk beraksi pada FMS 2026  di Litar Dato Sagor, Perak pada 22 hingga 23 April ini.  – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Dr. Hairul Azhar berkata, UTRT bukan nama asing dalam arena perlumbaan pelajar apabila mencatat kadar kejayaan 50 peratus dalam penyertaan terdahulu selain meraih beberapa kemenangan di litar seperti Melaka International Motorsport Circuit (MIMC),
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Sepang International Circuit (SIC) dan Kuantan.

Bagi edisi 2026, katanya, jentera Red Shark diketuai Muhammad Adam Alif Muhammad Zani dengan Che Hanif Haikal Che Mat sebagai pemandu, manakala Blue Shark diterajui Muhammad Redaniel Haqim Redzuan bersama pemandunya Eizzedin Afkar Azil Hizaq.

“Kedua-dua pasukan turut dibarisi pelajar daripada pelbagai bidang termasuk pembuatan, automotif, mekatronik, kimia, pengurusan perniagaan serta sains komputer,” katanya.

Rektor UC TATI Profesor Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid menyerahkan bendera UC TATI Racing Team pengurusan pasukan UC TATI. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau berkata, dari sudut teknikal, fokus pembangunan jentera tertumpu kepada peningkatan prestasi aerodinamik melalui analisis CFD, pengurangan berat bagi meningkatkan kelajuan, serta kestabilan dan kawalan optimum di litar, selain memastikan reka bentuk memenuhi piawaian pertandingan antarabangsa.

“Persiapan ke arah FMS 2026 telah melalui beberapa fasa rapi sejak tahun lalu merangkumi perancangan teknikal dan kewangan, pembangunan serta penambahbaikan jentera, selain latihan intensif dan ujian prestasi,” katanya.

Dalam pada itu, tambahnya, UTRT meletakkan sasaran untuk muncul antara pencabar utama dalam kategori teknikal dan perlumbaan di samping memperkenalkan bakat kejuruteraan muda kepada industri serta mengukuhkan reputasi UC TATI sebagai institusi TVET kompetitif.

“Dengan kombinasi kepakaran teknikal, pengalaman pertandingan dan semangat berpasukan, Red Shark dan Blue Shark dijangka mampu memberi saingan sengit pada FMS 2026,” katanya. – Suara Timur

Tinggalkan komen