Home Mahkamah dan JenayahBapa direman tujuh hari disyaki dera anak tiri

Bapa direman tujuh hari disyaki dera anak tiri

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN – Seorang lelaki direman tujuh hari hingga Ahad depan selepas disyaki mendera anak lelaki tirinya berusia lima tahun sejak sebulan lalu dalam kejadian di Kampung Besol Baru, dekat sini.

Perintah reman terhadap suspek berusia 38 tahun itu dikeluarkan Majistret Nur Amirah Fatihah Osman di Mahkamah Majistret Dungun hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, Jumaidy Bah Chong Weh berkata, suspek ditahan pada pukul 5.50 petang semalam selepas ibu mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

banner
SEORANG bapa yang disyaki mendera anak tiri dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Dungun, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurut beliau, ibu mangsa menyedari terdapat kesan melecur pada jari anaknya pada 7 April lalu sebelum kanak-kanak itu memaklumkan kecederaan berkenaan dipercayai dilakukan suspek menggunakan pemetik api.

“Suspek dipercayai bertindak demikian sebagai hukuman kerana mendakwa mangsa terlalu nakal dan degil,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa turut memaklumkan pernah dicekik dan dipijak pada bahagian perut oleh suspek ketika ibu mangsa tiada di rumah kerana keluar berniaga.

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan air kencing juga didapati negatif dadah.

Menurut beliau, suspek merupakan bapa tiri kepada mangsa dan telah berkahwin dengan ibu kanak-kanak terbabit sejak hampir tiga tahun lalu. – Suara Timur

Tinggalkan komen