Negara

Israel sekat hampir semua kapal flotila ke Gaza kecuali satu, Marinette

LONDON: Israel menyatakan bahawa mereka telah menghentikan flotila yang membawa bantuan ke Gaza dengan tentera lautnya memintas kesemua kecuali satu kapal yang cuba memecahkan sekatan.

Daripada 42 kapal yang dijejaki secara dalam talian oleh Global Sumud Flotilla (GSF), 41 kapal dilaporkan telah disahkan atau dianggap telah dihentikan oleh pasukan Israel.

Sehingga petang semalam, GSF memulakan siaran langsung di Instagram menayangkan rakaman sebuah kapal bernama Marinette yang masih berlayar.

“Marinette masih berlayar dengan gagah,” kata GSF walaupun kapal itu kelihatan berada lebih jauh di laut dan sejajar dengan pantai Mesir.

Kapal itu dilapor berada kira-kira 80 batu nautika dari Gaza malam tadi dan 10 batu nautika dari lokasi Israel yang memintas bot lain dalam flotila terbabit.

Terdahulu, Kementerian Luar Israel, yang menyifatkan misi flotila itu sebagai satu provokasi berkata “semua penumpang selamat dan dalam keadaan sihat”, dan “mereka sedang dibawa ke Israel dengan selamat, dan dari situ mereka akan dihantar pulang ke Eropah.

Kapal-kapal dari flotila itu, yang membawa kira-kira 500 orang termasuk ahli parlimen, peguam dan aktivis — termasuk aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg — telah dinaiki oleh tentera Israel lewat malam kelmarin, kira-kira 75 batu nautika dari pantai Gaza. – Berita Harian

Related Posts