KUALA LUMPUR: Laungan takbir bergema di ibu negara sempena Himpunan Melayu Berdaulat di hadapan pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, hari ini.
Tinjauan Harian Metro di lokasi mendapati cuaca panas tidak menghalang orang ramai yang mula berkumpul seawal 1.30 tengah hari tadi.
Orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat dan tidak kira umur dilihat berkumpul dengan ada yang berjubah dan ada juga mengenakan baju Melayu lengkap bertanjak.
Setakat 3 petang, dianggarkan ratusan individu berkumpulan di hadapan pusat beli belah itu untuk mendengar ucapan daripada pihak penganjur berhubung isu-isu semasa.
Antara isu disentuh termasuk isu undang-undang, isu bangsa Melayu, isu agama, dan lain-lain isu semasa yang berkaitan.
Keadaan di lokasi tenang dan terkawal dengan kehadiran sejumlah pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dilihat menjaga keselamatan awam. – Harian Metro