MELAKA – Doktor lelaki di sebuah hospital di negeri ini dicekup Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) selepas disyaki berkhalwat dengan kekasihnya di sebuah rumah di Taman Semabok Perdana, Semabok, di sini pada petang Selasa.
Ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 3.25 petang, doktor berkenaan dan pasangan yang juga merupakan doktor perubatan sanggup bersembunyi dalam rumah teres setingkat itu.
Sumber berkata, bagaimanapun selepas 20 minit menunggu akhirnya pasangan masing-masing berusia 30-an yang enggan memberikan kerjasama ketika kehadiran imam masjid, polis dan penduduk taman akhirnya akur.
Menurutnya, pasangan doktor itu terpaksa membuka pintu rumah selepas sepasukan penguat kuasa tiba sebelum menahan mereka pada jam 3.43 petang.
“Malah doktor lelaki yang membuka pintu rumah terbabit didakwa turut mempersoalkan tindakan penguat kuasa untuk memeriksa kediamannya yang disewa bersama dua lari rakan lelakinya yang tiada di rumah ketika serbuan dilakukan,” katanya.
Sementara itu, usaha menghubungi Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat untuk mengesahkan kejadian itu belum mendapat maklum balas. – Sinar Harian