Negara Politik

PRK Ayer Kuning: BN kekal rentak kemenangan, majoriti undi meningkat

TAPAH:  Barisan Nasional (BN) meneruskan rentak kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning apabila calonnya, Dr. Mohamad Yusri Bakir, 54, memenangi pilihan raya hari ini.

Perkara tersebut diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Redhaudin Ahmad Shokori di Dewan Merdeka, di sini hari ini.

Mohamad Yusri menerima 11,065 undi berbanding 6,059 undi yang diterima calon Perikatan Nasional (PN), Abd. Muhaimin Malek, 44, dan 1,106 undi oleh Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Ia sekali gus meningkatkan majoriti undi yang diterima BN daripada 2,213 undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kepada 5,006 undi pada PRK DUN berkenaan, hari ini.

Undi rosak pada PRK kali ini pula sebanyak 289 undi.

Dalam pada itu, peratusan keluar mengundi tidak mencapai sasaran 70 peratus oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila hanya 58.07 peratus pemilih menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya berkenaan.

PRK Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu. – Kosmo

Related Posts