KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan menyatakan pendiriannya untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Aliakbar, yang juga Pesuruhjaya Pas Sabah berkata, pimpinan Perikatan Nasional (PN) telah menyerahkan kepada Pas untuk menentukan arah sokongan parti di negeri itu.
“Memandangkan saya sudah bekerja selama lima tahun di bawah Ketua Menteri, jadi saya agak selesa dan serasi dengan beliau. Hubungan pun rapat, ditambah pula dengan usaha kita untuk meneruskan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
“Jadi perkara ini telahpun dimaklumkan kepada Ketua Menteri sejak awal, dan kita juga telah menghantar surat kepada beliau pada 9 Disember lalu untuk menyatakan sokongan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan statusnya susulan kekeliruan yang timbul ekoran kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengandaikan bahawa Aliakbar sebagai pembangkang dalam kerajaan Sabah.
Bagaimanapun, dalam kenyataan terbaharu Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, sebaliknya menyatakan bahawa ADUN tunggal parti itu memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Ketua Menteri Sabah.
Aliakbar dalam pada itu berkata, beliau sebenarnya sudah bertemu Ketua Menteri sebelum ini secara peribadi.
“Cuma saya belum berjumpa secara rasmi dengan Ketua Menteri,” katanya.
Sebelum itu, Aliakbar yang sebelum ini merupakan ADUN Dilantik, berjaya memenangi kerusi DUN Karambunai dengan memperoleh 7,054 undi dalam persaingan 11 penjuru. – Sinar Harian
