TAPAH: Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir diumum sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengumuman dibuat Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad semasa Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN bagi PRK DUN Ayer Kuning di sini, bersempena Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Tapah di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selain kepimpinan tertinggi BN dan Pakatan Harapan (PH) bersama lebih 5,000 jentera dan penyokong parti.
Berdasarkan biodata dikongsi kepada media, Mohamad Yusri, 54, yang memulakan kerjaya sebagai guru pada 1992, memiliki Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan kini berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh.
Beliau kemudian beralih kerjaya sebagai Pensyarah di IPG Kampus Ipoh pada 2007 dan berkhidmat di sana sehingga sekarang.
Mohamad Yusri yang juga Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Anak-Anak Tapah, mempunyai empat anak berusia antara 20 hingga 28 tahun hasil perkongsian hidup dengan isteri, Rosnani Mahmud, 52. – Berita Harian