KUALA TERENGGANU: Terengganu sekali lagi kekal menjadi destinasi pilihan sukan lasak 4×4 setelah penganjuran Terengganu International GPx4 Offroad Challenge berjaya menarik 174 pelumba dari seluruh negara melibatkan 87 jentera lumba untuk berkampung selama dua hari perlumbaan di Belukar Bukit, Hulu Terengganu, baru- baru onk
Melihat pada momentum jumlah penyertaan dari serata negeri dan prestij penganjuran yang turut disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) termasuk kerajaan negeri Terengganu, pengarah pertandingan Muhammad Muzammil Mokhetar tidak menolak untuk mengangkat prestij penganjuran ke peringkat lebih tinggi pada tahun hadapan.
“Terengganu sememangnya negeri bertuah untuk penggiat sukan lasak 4×4 di mana mempunyai cabaran yang tersendiri dan berbeza berbanding di lain-lain negeri.

“Pelbagai bentuk muka bumi di sini memberi cabaran berganda buat setiap pasukan bertanding dan itulah yang mereka mahukan.
“Sokongan padu daripada pihak MOTAC dan kerajaan negeri Terengganu untuk turut sama berganding bahu selaku rakan kongsi memberi nilai tambah prestij bagi penganjuran ini. Juga memberi penanda aras baharu buat sukan ini di mana sebelum ini kurang mendapat perhatian sewajarnya,” ujar Muhammad Muzammil Mokhetar yang juga merupakan presiden Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah(UT 4×4) selaku jawatankuasa perlumbaan ini.
Pandangan itu disambut baik oleh Exco Pelancongan Terengganu, Datuk Razali Idris yang melihat penganjuran perlumbaan jentera lasak 4×4 ini tidak hanya berjaya menarik jumlah penyertaan yang besar malah turut memberi tempias pada sosio ekonomi setempat walaupun ianya berlangsung jauh dari bandar.

“Sudah tentu penanda aras sedemikian menjadi matlamat kami di Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu di mana bukan hanya berjaya menarik jumlah kehadiran pelancong melalui penyertaan pasukan-pasukan lumba dari luar Terengganu malah mampu untuk memberi ruang bagi sosio ekonomi penduduk setempat.
“Situasi ini meletakkan Terengganu di landasan yang tepat sebagai negeri pelancongan sukan sekaligus menjadi pentas terbaik untuk kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang berbaki kurang dari dua bulan lagi nanti.

“Tahniah kepada penganjur untuk sekali lagi membuktikan sukan lasak 4×4 ini mempunyai prestij tersendiri untuk di angkat ke peringkat yang lebih tinggi di mana kita boleh melihat di sini juga turut menerima penyertaan dari luar negara,” katanya.
Beliau hadir menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada setiap pemenang pada malam hari terakhir penganjuran.
Pada perlumbaan yang berlangsung selama dua hari ini, pasukan Rubber Tipper yang berpangkalan di Merapoh, Pahang muncul juara keseluruhan bagi acara ‘short wheel base’ kategori Litecore manakala juara keseluruhan ‘long wheel base’ Litecore milik pasukan Andak TXV. Bagi kategori ‘Camping Body Hardcore’, juara keseluruhan milik pasukan Boeing B.

Untuk rekod, penganjuran ini merupakan hasil kerjasama di antara Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah(UT 4×4) dan Kelab Terjoh 4×4 Terengganu di mana kedua-dua pasukan yang berpangkalan di Kuala Nerus, Terengganu di mana kedua-dua kelab ini telah mencetus sensasi prestij penganjuran sukan permotoran 4×4 tempatan setelah berjaya menganjurkan Cabaran 4×4 Merdeka Challenge 2025 pada Ogos lalu.
Turut berlangsung sewaktu dua hari perlumbaan ini adalah perhimpunan Jamboree Peminat 4×4 Malaysia yang telah menghimpunkan 948 buah jentera 4×4 dari seluruh negara yang dikelolakan oleh Kay Adventure dari Kajang, Selangor sekaligus memberi tambah nilai terbaik pada penganjuran ini. – Suara Timur