Negeri

2,000 hektar tanah di Terengganu ditanam kelapa pandan

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan membelanjakan RM1.28 juta menerusi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) bagi membantu pengeluaran kelapa di negeri Terengganu.

Timbalan Pengarah Pertanian Negeri (Operasi), Hamidah Abdul Hamid berkata, bagi meningkatkan pengeluaran kelapa, kementerian memberi inisiatif kepada 37 usahawan tani dengan keluasan 248 hektar dari tahun 2021 hingga 2025.

“Menurut rekod Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, hasil usahawantani di Terengganu dapat membantu 60 peratus keperluan kelapa bagi negeri ini,” katanya.

Pegawai Pertanian Daerah Kemaman, Nur Shazwani Mohd Salleh (kiri) dan Timbalan Pengarah Pertanian Negeri Terengganu (Operasi), Hamidah Abdul Hamid (kanan) menunjukkan produk yang dihasilkan daripada kelapa  Seminar Usahawantani Tanaman Kelapa Daerah Kemaman 2025 di Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/ MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau berkata demikian ketika ditemui Suara Timur selepas menyampaikan ucaptama sempena Seminar Usahawantani Tanaman Kelapa Daerah Kemaman 2025 anjuran Pejabat Pertanian Daerah Kemaman bertempat di Dewan Sri Geliga, Majlis Perbandaran Kemaman di sini, hari ini.

Program di bawah Agroteknologi disertai seramai 100  peserta termasuk pengusaha kelapa pandan di daerah Kemaman.

Hamidah memberitahu, di Terengganu, Jabatan Pertanian telah menanam lebih 2,000 hektar kelapa pandan dan daerah Kemaman merupakan daerah paling tinggi dengan 344 hektar bersamaan 15 peratus merupakan peserta dari daerah Kemaman.

Katanya, pengeluaran kelapa di negeri Terengganu pada tahun lepas sebanyak 17,400 metrik tan.

“Setakat ini pengeluaran kelapa di negeri ini masih rendah dengan hasil sekitar lapan metrik tan per hektar.

“Kita berharap dengan bantuan ini pengeluaran kelapa dapat ditingkatkan daripada lapan metrik tan kepada 15 metrik tan bagi mencukupi pemintaan kelapa di negeri ini,” ujarnya.

Tambahnya, produk kelapa bukan sahaja tertumpu kepada santan, malah ia juga boleh dijadikan air nira, minyak kelapa dara dan lipstik – Suara Timur

Related Posts