BESUT: Hampir 500 pesawah berdepan masalah kekurangan bekalan air sehingga terpaksa menggunakan ‘air buangan’ dari sawah atau mengharapkan hujan untuk mengairi petak bendang di bawah Skim Pengairan Pelagat, di sini.
Masalah itu melibatkan keluasan lebih 500 hektar sawah di lapan buah kampung iaitu Kampung Padang Landak, Padang Luas, Gong Penaga, Pengkalan Setor, Tok Has, Dengir, Beris Pok Abu serta Kampung Gong Lapan.
Abdur Rahman Husni Ismail, 35, berkata, keadaan itu telah berlarutan hampir 15 tahun tetapi keadaan menjadi semakin parah beberapa tahun kebelakangan ini.
“Ekoran masalah ini, kami pesawah di kawasan yang jauh dari sumber air iaitu rumah pam Pelagat terpaksa menggunakan ‘air buangan’ dari sawah di bahagian atas atau hujan untuk mengairi sawah.
“Saya dan petani juga terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri membeli pam air untuk kegunaan sendiri ekoran pam yang dibekalkan oleh pihak berkenaan tidak mencukupi,” katanya ketika ditemui di Kampung Air Terjun, di sini.
Ujarnya dia sendiri membelanjakan kira-kira RM2,400 untuk membeli pam sebagai inisiatif sendiri bagi mengelakkan menanggung kerugian sekiranya padi mati susulan masalah tersebut.
Katanya keadaan semakin meruncing ketika musim panas sehingga boleh menyebabkan padi yang ditanam terbantut pembesarannya apabila kekurangan bekalan air.
Menurut Abdur Rahman Husni situasi itu sekaligus membuat pendapatan mereka berkurangan apabila hasil yang dituai berkurangan dan kualitinya agak kurang.
Sementara itu seorang lagi petani, Muhamad Nasrullah Mohd Nawi, 29, berkata, mereka berharap masalah itu mendapat perhatian pihak berwajib dan membantu mencari jalan penyelesaian yang lebih efektif.
“Kitaran padi ini dua musim dalam setahun dan kami bimbang akan berdepan masalah sama apabila ingin memulakan kerja-kerja penanaman padi musim pertama bermula Mac ini.
” Oleh demikian kami amat berharap masalah ini dapat segera diselesaikan meskipun dalam pelbagai cara termasuk membina telaga tiub serta menambah lebih banyak pam air bagi menampung keperluan petani di situ,” katanya. – Utusan